KLANG, 10 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk menyiasat dakwaan aktiviti pembersihan hutan secara haram di kawasan Batu 18, Hulu Langat.
Beliau berkata siasatan tersebut bagi menentukan sama ada aktiviti berkenaan menjadi antara punca kejadian banjir berulang di kawasan terbabit.
“Kita akan lihat dahulu apa yang berlaku. Kita akan minta jabatan terbabit untuk siasat, yang ada kaitan dengan rizab sungai akan dilakukan oleh JPS, kalau hutan Jabatan Perhutanan akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi KOSAS Datuk Mohd Aini Taib.
Amirudin berkata insiden banjir yang kerap berlaku dikenal pasti berpunca daripada Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 yang belum lagi selesai dan ketika ini dalam peringkat reka bentuk.
“Projek itu masih lagi dalam peringkat reka bentuk, dan kalau ia dapat diselesaikan, saya percaya akan dapat menyelesaikan masalah (banjir) berulang. Sebab (aliran air di kawasan itu) akan pergi ke Kuala Langat dan Sepang.
“Saya akan pantau sendiri agar ikut jadual supaya tidak terlewat (siap) di samping mencari solusi yang segera untuk mengelakkan masalah (banjir) berlaku (berulang kali),” katanya.
Berhubung program itu, Amirudin berkata beliau yakin dengan kekuatan KOSAS dalam aspek pelaburan apabila menunjukkan hasil dan pulangan baik kepada anggota koperasi.
“Banyak koperasi baharu ditubuhkan, ada yang lama, kita akan cari 10 atau 20 suri teladan untuk kita kembangkan dan padankan dengan koperasi baharu, sebab kaedah koperasi sangat berjaya di Jepun dalam bidang pertanian, makanan, keselamatan bekalan, dan itu juga akan menjadi sebahagian strategi kita pada 2026.
“Mereka memang sudah melabur dalam sektor hartanah, pelancongan, perladangan dan berjaya, malahan memberikan hasil yang baik kepada anggota,” katanya.
Beliau berkata kejayaan KOSAS yang kini memasuki usia 50 tahun banyak disumbangkan oleh kecekapan pengurusan serta tatakelola yang baik, sekali gus meningkatkan keyakinan anggota untuk meneruskan pelaburan mereka.
Sebanyak 3,000 anggota hadir pada majlis berkenaan, menunjukkan komitmen untuk terus menyumbang kepada koperasi bagi meneruskan perancangan masa depan KOSAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial