AM > BERITA

Melaka Perketat Penguatkuasaan Penjualan Rokok Elektronik Tidak Berlesen

10/12/2025 11:55 AM

MELAKA, 10 Dis (Bernama) -- Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan notis, kompaun dan menyita premis menjual rokok elektronik atau vape tanpa lesen di negeri itu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata PBT akan akan memastikan Lesen Tred Menjual Rokok Elektronik hanya diberikan kepada premis yang memenuhi syarat ditetap selaras dengan Undang-undang Kecil Pelesenan Tred (PBT) 2010.

“Tindakan PBT turut melengkapi usaha kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) memandangkan kawal selia produk vape, kandungan cecair serta penjualan kepada golongan bawah umur adalah di bawah bidang kuasa KKM melalui akta produk merokok. 

“Dalam hal ini, PBT memberi sokongan melalui pemantauan premis dan penyampaian maklumat yang relevan kepada pihak kesihatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut ketetapan undang-undang,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Kerk Chee Yee (he) (PH-Ayer Keroh) mengenai usaha kerajaan negeri dalam mengekang dan mengurangkan penggunaan vape yang dikatakan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan masyarakat.

Dalam pada itu, Ngwe berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Melaka turut melaksanakan program pendidikan kesihatan dan kempen kesedaran mengenai bahaya penggunaan vape di sekolah, institusi pendidikan serta komuniti dengan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan strategi.

Beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan berfokus dijalankan di premis penjualan produk vape bagi membendung penjualan produk berkenaan kepada golongan bawah umur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan