KUANTAN, 10 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini dimaklumkan mengenai rizab unsur nadir bumi di negeri itu dianggarkan berjumlah 1.4 juta tan dengan nilai sekitar RM37.4 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Najib berkata daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus kawasan berpotensi mengandungi REE berada dalam Hutan Simpan, manakala baki 30 peratus terletak di kawasan berstatus tanah milik serta tanah kerajaan.
“Hasil semakan pada 28 Nov lepas, harga semasa bagi RE karbonat adalah USD6,456.47 (RM26,549.20) per tan metrik,” katanya pada sidang DUN di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri menubuhkan hab pemprosesan REE yang dikawal dan dimiliki kerajaan negeri, serta sama ada sumber itu akan diserahkan kepada syarikat luar seperti Lynas Malaysia.
Mohamad Nizar berkata kerajaan negeri telah meluluskan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang pada 18 Jun 2025.
Beliau berkata kerajaan negeri melalui Pahang Mining Corporation sedang melaksanakan kajian terperinci mengenai potensi rizab mineral, khususnya REE, bagi menentukan potensi serta jumlah rizab sebenar yang terdapat di negeri itu.
“Kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada pengoperasian perlombongan peringkat huluan bagi memastikan aktiviti perlombongan dapat dijalankan secara mampan dan mematuhi garis panduan ditetapkan.
“Pengoperasian peringkat huluan juga penting bagi meyakinkan pelabur untuk melabur dalam pembangunan hab pemprosesan REE peringkat pertengahan atau hiliran,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan cadangan penubuhan hab pemprosesan REE di Pahang sama ada daripada syarikat dilantik kerajaan negeri atau syarikat luar.
“Setakat ini, Jawatankuasa Pelaburan Negeri telah mendengar beberapa pembentangan cadangan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, dan perkara itu masih dalam proses penilaian serta pertimbangan wajar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial