AM > BERITA

55,000 Belia Disasar Sertai Program Kemahiran Teknologi Baharu Tahun Depan - KESUMA

10/12/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Seramai 55,000 belia disasarkan mengikuti program latihan kemahiran tahun hadapan melalui peluasan kursus teknologi baharu serta bidang berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high growth, high value), termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, keselamatan siber, dan kenderaan elektrik (EV).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata inisiatif di bawah Jabatan Tenaga Manusia itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program latihan sepenuh masa serta inisiatif reskilling dan upskilling.

“Sehingga Oktober tahun ini, seramai 23,486 pelajar mengikuti program sepenuh masa, manakala 78,558 peserta menyertai program separuh masa meliputi 10 kluster teknologi dan kejuruteraan,” katanya menjawab pertanyaan Senator Dr Jufitri Joha berhubung perancangan KESUMA meningkatkan kemahiran masa depan belia di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut menyelaras semakan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) agar kekal relevan dengan perkembangan teknologi semasa, selain memperluas laluan modular dan mikro-credential dalam bidang AI, keselamatan siber, pengkomputeran awan, dan pembuatan digital.

Menurut beliau, TalentCorp juga memperkenalkan platform MyMAHIR.my dan melaksanakan MyMahir Skills Lab bagi memenuhi keperluan industri, manakala penubuhan Majlis AI Kebangsaan MyMahir-NAICI berperanan menyelaras pembangunan bakat AI negara.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pindaan kepada Seksyen 22(2)(a) Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB) yang mempercepatkan tempoh penggunaan levi daripada lima tahun kepada dua tahun membolehkan dana latihan digunakan secara lebih optimum.

Beliau berkata pindaan itu membolehkan HRD Corp menguruskan dana levi dengan lebih efisien untuk menyediakan latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula pekerja tempatan, termasuk program yang menekankan nilai serta etika kerja MADANI.

“Kalau tidak (tiada pindaan), mereka (majikan/syarikat) akan mengambil masa lama untuk menghantar pekerja mengikuti latihan.

“Tapi dengan adanya pindaan ini, selepas dua tahun, dana levi boleh digunakan untuk kursus-kursus lain bagi pekerja yang memerlukan atau daripada syarikat lain. Setakat ini, sebanyak RM2.3 bilion telah dibelanjakan bagi tujuan latihan, meliputi 6,111 jurulatih dan 1,516 tempat latihan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Musoddak Ahmad yang ingin tahu jumlah jurulatih bertauliah dan berdaftar dengan HRD Corp, serta jumlah dana tabung yang boleh digunakan untuk latihan, pada sesi sama.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan