MELAKA, 10 Dis (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) secara rasminya dipilih sebagai rakan strategik Agensi WorldSkills Malaysia Peringkat Antarabangsa, sekali gus menjadi Pusat Kecemerlangan (COE) WorldSkills Malaysia dalam bidang teknologi digital.
UTeM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sijil pengiktirafan pencapaian itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) UTeM Prof Dr Mohd Sanusi Azmi dalam majlis yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Center di Selangor baru-baru ini.
Pada majlis sama juga, pelajar UTeM daripada FTMK Chuan Ming Xuan turut menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang beliau dalam pertandingan kemahiran teknikal pada WorldSkills Asia Taipei 2025 dan pelajar itu dianugerahkan sijil serta pingat perak yang disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Dalam kenyataan sama, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pengiktirafan yang diterima itu menjadikan UTeM sebagai pusat rujukan utama dalam dua disiplin kemahiran kritikal iaitu pembangunan aplikasi mobil dan perkomputeran awan.
Beliau berkata pengiktirafan itu juga membuktikan komitmen dan keupayaan UTeM dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang menepati piawaian antarabangsa, sekali gus menyokong pembangunan modal insan teknikal negara.
“Menerusi pencapaian ini juga, UTeM terus berdiri megah sebagai Universiti Awam Teknikal terulung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bergerak sendiri dalam melaksanakan program latihan berkaitan secara lebih meluas.
“Pada masa sama, pencapaian ini turut menjadi faktor pemudah cara bagi UTeM untuk mendapatkan bajet dan peruntukan yang lebih dalam meningkatkan lagi fasiliti dan kemudahan berskala besar,” katanya.
Mengulas kejayaan Chuan pula, Massila berkata pencapaian itu adalah impak dan keberhasilan daripada konsep pengajaran, kepakaran dan komitmen dizahirkan oleh kumpulan jurulatih dan pakar negara terdiri dalam kalangan kakitangan UTeM.
Beliau berkata UTeM khususnya FTMK memiliki pakar negara iaitu Pensyarah Kanan Yahya Ibrahim manakala Jurulatih Negara, iaitu Maslita Abd Aziz dan Nor Mas Aina Md Bohari.
Menurut Massila, kumpulan itu turut memberi sumbangan besar buat negara dalam melatih pelajar Malaysia bagi menghadapi pertandingan kemahiran di peringkat ASEAN, Asia dan dunia yang juga tunjang kepada kejayaan negara dalam arena WorldSkills.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial