AM > BERITA

Banjir Perlis: JKM Belanja RM1.92 Juta Bagi Penyediaan Makanan Di 24 PPS

10/12/2025 03:22 PM

KANGAR, 10 Dis (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan RM1.92 juta bagi perbelanjaan penyediaan makanan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka ketika banjir melanda Perlis, bulan lepas.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata sebanyak 8,058 mangsa banjir direkodkan dengan sejumlah RM515,000 turut dibelanjakan untuk perolehan barangan keperluan kepada mereka yang terjejas.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan melalui Akaun Amanah Bantuan Bencana Malapetaka yang diselaraskan Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD). Dana dan sumbangan oleh orang awam juga turut dikreditkan ke dalam akaun amanah ini.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menerima peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disalurkan melalui akaun amanah ini. Untuk rekod, sejumlah RM236,120 telah dibelanjakan bagi pengoperasian dan pengurusan banjir yang melanda Perlis baru-baru ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) mengenai peruntukan bantuan bencana alam daripada kerajaan negeri kepada rakyat yang terkesan dengan bencana alam seperti banjir kilat dan ribut sesi soal jawab.

Mohd Shukri berkata sebagai tambahan, NADMA juga menyalurkan RM100,000 kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi pengoperasian banjir meliputi kos penyediaan makan dan minum kepada petugas. 

Beliau berkata bantuan bagi bencana alam disediakan oleh kerajaan negeri melalui beberapa agensi dengan JKM sebagai agensi utama, merangkumi tiga skop bantuan iaitu Bantuan Bencana Alam (Kebakaran), Bantuan Bencana Alam (Ribut) dan Bantuan Bencana Alam (Banjir atau Luar Jangka).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan