SEREMBAN, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan berpotensi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, aeroangkasa, teknologi makanan serta farmaseutikal, sejajar dengan sektor sasaran dalam kluster industri di Wilayah Tengah.
Semasa sesi penggulungan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong, berkata bagi menyokong aspirasi menjadikan negeri ini sebagai hab pelaburan utama, kerajaan negeri bersama sektor swasta giat membangunkan kawasan industri baharu.
"Usaha ini bertujuan menarik lebih banyak pelabur berpotensi khususnya ke Wilayah Pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 melibatkan Seremban dan Port Dickson. Pada masa kini seluas 3477.5 hektar (8,593.28 ekar) kawasan industri baharu dikenal pasti dan sedang dalam proses pemajuan," katanya.
Teo (PH-Bahau) berkata antara projek terlibat adalah SPD Tech Valley, Eco Business Park 7, NS Semiconductor Valley, NS Smart Park.
Beliau berkata strategi ini turut didukung oleh dasar pelaburan yang terbuka dan mesra pelabur melalui inisiatif Negeri Sembilan Fast Lane.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli berkata liputan Internet di kawasan berpenduduk di negeri ini mencapai 99.93 peratus setakat 31 Okt lepas.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan terus melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memperluas liputan jalur lebar dan meningkatkan kelajuan internet di seluruh negeri.
Mohd Faizal (BN-Linggi) berkata MCMC menerima 3,477 aduan berkaitan komunikasi dan lima daripadanya melibatkan penutup manhole terbuka dengan tindakan penutupan dan pembaikan segera dilaksanakan serta peluasan liputan 5G ke kawasan luar bandar juga diteruskan secara berperingkat.
“Selain itu, pengoperasian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) yang diwujudkan di setiap DUN menyediakan akses internet percuma, komputer, latihan digital dan program peningkatan kemahiran bagi merapatkan jurang digital,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri Nicole Tan berkata Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 bukanlah agenda di atas kertas tetapi bertujuan memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
“Penganjuran tahun ini dijangka memperkukuh peluang pekerjaan, termasuk dalam sektor keusahawanan, pelancongan hotel, makanan dan minuman serta industri kreatif, sekali gus merancakkan ekonomi setempat, meningkatkan pendapatan komuniti dan menambah baik akses jalan raya,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mustapha Nagoor pula berkata RM5 juta diperuntukkan sebagai persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 antara lain bagi memperkukuh pusat latihan negeri serta menambah penyertaan atlet ke kejohanan tersebut.
Persidangan DUN bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial