IPOH, 10 Dis (Bernama) – Juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya terus setia menanam tekad dalam mencurahkan sumbangan dan khidmat bakti kepada pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata tindakan juruterbang PDRM yang menamatkan perkhidmatan untuk menyertai syarikat penerbangan komersial selepas memperoleh lesen penerbangan memberi impak besar kepada pasukan dan negara.
“Tindakan sebegini bukan sahaja mengganggu pengoperasian pasukan, malah amat merugikan apabila pulangan pelaburan (return on investment) gagal diterjemahkan melalui perkhidmatan berterusan kepada PDRM.
“Tambahan pula, pasukan terpaksa menanggung kos tinggi untuk melatih juruterbang baharu. Ingatlah dan hargailah jasa PDRM yang telah membuka ruang serta peluang keemasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Penerbangan Persendirian (Private Pilot's Licence – PPL) bilangan 20 siri 1/2023 (Helikopter) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU), DCP Datuk Noor Sham Md Jani.
Mohd Khalid berkata dengan pentauliahan lesen dan tamatnya kursus juruterbang ini, peserta turut diamanahkan menjaga aset pasukan yang bernilai ratusan juta ringgit.
“Justeru, aspek keselamatan nyawa dan aset perlu sentiasa menjadi keutamaan setiap kali anda bertugas mengendalikan aset-aset udara ini,” katanya.
Noor Sham dalam ucapan aluannya pula berkata usaha penambahbaikan PLPGU terus diperkasa melalui perancangan latihan bertaraf tinggi sehingga ke peringkat Commercial Pilot Licence (CPL).
Katanya, PGU sedang mempertimbangkan cadangan penambahbaikan melalui kerjasama strategik antara KOP Aviation dan Gading Air Services Sdn. Bhd, yang menumpukan pembangunan modal insan khususnya dalam aspek kejurulatihan dan perolehan aset latihan kritikal.
“Langkah ini bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi sebagai persiapan jangka panjang agar PLPGU mampu berdiri sendiri sebagai pusat latihan penerbangan yang berdaya saing dan berwibawa,” katanya.
Pada majlis hari ini, seramai sembilan pegawai kanan polis termasuk enam pegawai wanita muncul sebagai kumpulan pertama Kursus Lesen Penerbangan Persendirian (PPL – helikopter) yang berjaya menamatkan latihan penerbangan mereka.
Mereka ialah Insp Muhammad Syafiq Rosli, 32; Insp Nur Nazarith Sofia Abdul Malik, 32; Insp Norashikin Jamid, 29; Insp Nur Izzati Bohari, 31; Insp Faten Nabela Rashdi, 32; Insp Norfazilah Md Zaki, 30; Insp Muhammad Muzzamer Mohd Rasid, 31; Insp Mohammad Azim Fiqri Jamaludin, 29; dan Insp Nursairah Farhana Mohd Noor, 30.
Kursus tersebut bermula pada 6 Nov 2023 dan berakhir pada 24 Nov lalu, melibatkan fasa akademik dan fasa penerbangan menggunakan helikopter EC120B.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial