Oleh Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Dalam era politik yang semakin tegang, kita menyaksikan satu kecenderungan yang membimbangkan iaitu perdebatan awam semakin dipengaruhi oleh politik kepartian yang melampau sehingga menenggelamkan fakta, kebenaran dan proses perundangan yang sah.
Naratif yang dibentuk berdasarkan sentimen dan prejudis kadangkala lebih mudah diterima berbanding penjelasan berasaskan rasional serta undang-undang.
Fenomena ini dapat dilihat dalam reaksi terhadap dakwaan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan membabitkan beberapa individu yang bertanding menentang Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti yang lepas.
Tuduhan sebegini tidak asing; setiap kali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seseorang tokoh atau penyokong parti, akan ada pihak yang menuduh wujudnya motif politik.
Namun hakikatnya, sebagai sebuah badan penguat kuasa, SPRM tidak mempunyai pilihan selain menjalankan siasatan apabila menerima aduan.
Ini bukan permainan politik - ini adalah kewajipan mengikut undang-undang yang sedia ada. Bahkan, mana-mana agensi penguat kuasa sama ada polis, kastam atau imigresen perlu menjalankan siasatan apabila menerima aduan dan maklumat sahih daripada orang ramai.
Siasatan Penguat Kuasa Ditentukan Undang-Undang
SPRM terikat kepada prosedur yang ditetapkan oleh Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta SPRM 2009. Apabila sesuatu aduan diterima, ia mesti disaring, diteliti dan disiasat bagi menentukan sama ada terdapat asas serta bukti untuk meneruskan siasatan.
Ini bermakna siasatan dimulakan kerana adanya aduan, bukan kerana tekanan politik, kes hanya diteruskan jika terdapat bukti, bukan kerana kedudukan seseorang dalam parti politik.
Tohmahan bahawa siasatan dilakukan atas arahan politik adalah naratif yang sering timbul tetapi proses undang-undang tidak bergerak mengikut persepsi sedemikian.
Dalam mencari kebenaran sama ada sesuatu kesalahan telah dilakukan, pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, merakam percakapan, menggeledah premis, mengepung kawasan siasatan dan dalam keadaan tertentu, memecah pintu rumah.
Ini bukan satu keanehan atau tindakan luar biasa, ia merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan yang dibenarkan undang-undang.
Namun, harus dijelaskan bahawa agensi penguat kuasa jarang menggunakan pendekatan tegas seperti mengepung atau memecah pintu kecuali benar-benar perlu. Pegawai penyiasat lazimnya bersikap berhemah dan profesional tanpa tindakan berlebihan.
Namun, ada kalanya tindakan berbentuk “elemen kejutan” diperlukan untuk memastikan bahan bukti tidak dilupuskan. Di sini, perlu ada pertimbangan antara kehendak siasatan dan hak asasi individu.
Siasatan Membersihkan Mereka Yang Tidak Bersalah
Masyarakat kadangkala melihat siasatan sebagai hukuman awal sedangkan ia sebenarnya merupakan proses untuk mencari kebenaran. Jika hasil siasatan mendapati individu tidak melakukan apa-apa kesalahan, kes itu akan diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).
Di sinilah terserlah sifat keadilan proses penyiasatan. Individu yang ditohmah dapat dibersihkan namanya melalui semakan bukti yang sah. Tanpa siasatan, fitnah atau persepsi negatif akan terus berlegar tanpa penyelesaian rasmi.
Pemisahan Kuasa sebagai Mekanisme Semak dan Imbang
Selepas siasatan selesai, SPRM tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa. Sebarang pendakwaan hanya boleh dilakukan selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk dibawa di mahkamah.
Jika bukti tidak mencukupi, AGC tidak akan mengeluarkan izin untuk mendakwa. Inilah mekanisme semak dan imbang yang memastikan setiap tindakan adalah munasabah, sah dan berasas selain kuasa menyiasat serta mendakwa tidak diletakkan dalam satu institusi sahaja.
SPRM Dipantau oleh Lima Badan Bebas
SPRM dipantau oleh lima badan bebas yang dilantik dalam kalangan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, ahli perniagaan serta pakar-pakar dalam perundangan, kewangan, penyiasatan dan sebagainya.
Kelima-lima badan mempunyai pelbagai peranan untuk mengawal serta memantau peranan dan fungsi SPRM dalam operasi dan pencegahan.
Mereka ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Panel Penilaian Operasi (PPO), Jawatankuasa Aduan (JKA) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Sebagai Pengerusi PPO, saya ingin menegaskan bahawa badan pemantau bebas SPRM memainkan peranan penting dalam menjaga integriti proses penyiasatan. Panel ini mempunyai kuasa untuk:
PPO bukan sekadar memerhati tetapi juga menilai setiap kes dengan objektif bagi memastikan SPRM bertindak berdasarkan keadilan dan proses undang-undang.
Kembali Kepada Fakta dan Rasional
Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam demokrasi. Namun, apabila perdebatan awam dipandu oleh politik kepartian yang melampau, ia memudaratkan kewibawaan institusi serta meracuni ruang dialog nasional.
Kita perlu kembali kepada prinsip asas. Biarkan undang-undang berjalan dan bukti menentukan keputusan, bukannya tohmahan mengikut emosi.
Biarkan kebenaran muncul melalui proses yang sah, bukannya polemik dan politik.
Hanya dengan mendukung perbincangan berasaskan fakta dan rasionaliti, kita dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara serta memastikan demokrasi berkembang dalam ruang yang sihat.
-- BERNAMA
Penulis adalah Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO), Badan Pemantau Bebas SPRM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial