KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Susulan kejayaan besar edisi pertama, FaLaLa 2.0 kembali ke Pulau Andaman, Pulau Pinang pada Krismas ini, mengubah lokasi berkenaan menjadi Snowy Nutcracker Wonderland yang mempesonakan.
Acara yang akan diadakan dari pukul 4 petang hingga 11 malam di E&O Gallery di Andaman pada 12 hingga 14 Dis dan 19 hingga 21 Dis ini menampilkan salji yang berkilauan, muzik mengasyikkan, bengkel interaktif, persembahan menarik dan pameran barangan perayaan terpilih.
Eastern & Oriental Berhad (E&O) dalam kenyataan memaklumkan setiap hari acara itu akan memperkenalkan pelbagai tarikan baharu untuk diterokai, daripada hadiah unik dan detik keluarga bermakna sehinggalah sudut santai yang dipenuhi dengan keceriaan musim perayaan.
Menurut kenyataan itu, pengunjung akan disambut dengan pencahayaan perayaan yang hangat, salji yang halus dan pokok Krismas ikonik, yang akan dinyalakan pada malam pertama 12 Dis pukul 8 malam, sebagai sebahagian daripada tradisi FaLaLa.
"Apabila malam menjelma, suasana akan semakin meriah dengan pengunjung meneroka gerai yang menawarkan kraf tangan artisan, sajian perayaan dan hadiah buatan tangan, sambil ahli keluarga menikmati taman permainan 'Kids’ Bumpy Ride' dan rakan-rakan berkumpul di sudut 'Bonfire S’mores'.
“Pasangan pula boleh berjalan-jalan santai di sepanjang pinggir air yang diterangi cahaya lampu, malah haiwan peliharaan juga dialu-alukan ke wonderland mesra haiwan ini, menunjukkan suasana perayaan yang sesuai untuk semua," menurut kenyataan itu.
E&O memaklumkan pengunjung berpeluang menyertai aktiviti membuat lingkaran bunga, menggubah terarium (tumbuhan hiasan di dalam balang kaca), menghasilkan campuran minyak wangi, mencelup epal dalam manisan dan menghias meringue.
Sesi "Little Chef" yang popular turut kembali, memberikan peluang kepada kanak-kanak merasai detik berdikari yang mengujakan.
Bagi menambah kemeriahan perayaan, program hiburan seperti koir Krismas yang menggabungkan suara penuh harmoni, tarian balet "Nutcracker" membawa sentuhan klasik musim perayaan, dan "Treasure Hunt" pula menawarkan keseronokan kepada keluarga.
"Pertandingan Tarian K-Pop akan menutup malam terakhir dengan penuh tenaga anak muda, manakala Drum Circle akan diadakan pada 20 Dis, menambah elemen berirama pada program itu. Kemunculan Santa setiap malam kekal menjadi tumpuan bagi banyak keluarga," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Eastern & Oriental Berhad Datuk Seri Tee Eng Ho berkata penganjuran FaLaLa 2.0 di E&O Gallery di Pulau Andaman membolehkan pihaknya menampilkan antara sambutan Krismas paling dikenali di Pulau Pinang dalam suasana yang mencerminkan pertumbuhan dan daya tarikan negeri itu.
"Kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pengunjung merasai pengalaman berada di Pulau Pinang semasa musim perayaan, dan matlamat kami ialah menawarkan sambutan yang mesra, menyeronokkan dan meninggalkan kenangan indah kepada penduduk dan pelancong," katanya dalam kenyataan sama.
Dengan salji yang turun penuh mengasyikkan, persembahan muzik secara langsung, detik membuat hajat di bawah pokok Krismas dan dilatari pemandangan laut Pulau Andaman yang memukau, FaLaLa 2.0 menawarkan satu daripada suasana perayaan paling elegan dan imersif di Pulau Pinang.
Sama ada datang bersama dengan keluarga, bertemu rakan-rakan atau mencari detik kehangatan perayaan, sambutan tahun ini mengalu-alukan para pengunjung untuk menikmati Krismas dalam suasana yang direka dengan teliti agar dapat terus dinikmati semua.
Senarai penuh dan jadual acara program, sila ikuti Instagram @andaman_by_eando.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial