AM > BERITA

Mohd Amirul Rizal Dilantik Ketua Pengarah Tourism Malaysia Baharu

10/12/2025 06:32 PM

PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) -- Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 8 Dis lepas.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing selaras dengan peruntukan Seksyen 10(1) Akta 481 Tourism Malaysia 1992 bagi menggantikan Datuk Manoharan Periasamy yang bersara wajib pada 6 Dis.

Mohd Amirul Rizal memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Pelancongan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memulakan kerjayanya bersama Tourism Malaysia pada 2 Sept 2002.

Sepanjang lebih dua dekad perkhidmatannya, beliau telah memegang pelbagai portfolio dalam bidang pemasaran dan promosi pelancongan termasuk berkhidmat di Bahagian Penyelidikan, sebelum menyandang jawatan Pengarah Pejabat Negeri Tourism Malaysia Terengganu dan Pengarah Pejabat Luar Negeri Tourism Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada 2008.

“Beliau pernah berkhidmat di Bahagian Promosi Domestik dan Acara serta Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika), selain jawatan terkininya sebagai Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Mohd Amirul Rizal memainkan peranan penting sebagai Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dalam memperkukuh usaha promosi negara di peringkat antarabangsa.

“Di samping tanggungjawab dalam organisasi, Mohd Amirul Rizal juga aktif dalam persatuan apabila dilantik sebagai Presiden Kelab Rekreasi Tourism Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Dengan pengalaman selama 23 tahun dalam bidang pemasaran dan promosi pelancongan, Tourism Malaysia yakin pelantikan beliau dapat memperkukuh pembangunan industri pelancongan negara menjelang penganjuran TMM2026.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan