AM > BERITA

PPTM 2026-2035 Dilancar Januari Depan, Bentuk Generasi Holistik Berpaksikan Kemanusiaan

10/12/2025 06:52 PM

PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) -- Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 bakal dilancarkan Januari tahun hadapan sebagai hala tuju baharu sektor pendidikan tinggi negara untuk tempoh sedekad akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelan itu akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu kedua Januari nanti.

Beliau berkata pelan komprehensif itu dirangka bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya saing, berdaya tahan dan siap siaga masa hadapan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“PPTM 2026-2035 dirangka sebagai dokumen dinamik atau living document yang akan disemak dan diperkemas dari semasa ke semasa bagi menepati perubahan semasa dan perkembangan global,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Zambry berkata langkah itu bertujuan memastikan keupayaan kerajaan menyesuaikan dasar dengan perubahan global, menambah baik strategi mengikut keperluan semasa serta meningkatkan kesediaan menghadapi teknologi baharu yang sedang muncul seperti kejuruteraan bersepadu, kecerdasan buatan generasi baharu, bioteknologi, teknologi kuantum dan teknologi mampan.

“Pendekatan ini membolehkan strategi dan sasaran pelan dikemas kini dari semasa ke semasa tanpa menunggu tempoh pelan berakhir,” katanya.

Zambry berkata PPTM 2026-2035 memberi tumpuan kepada dua paksi utama iaitu kemajuan teknologi dan pembangunan nilai kemanusiaan.

“Kemajuan teknologi mesti berjalan seiring dengan pembinaan nilai kemanusiaan. Kami mahu melahirkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan, berilmu, beretika dan berakhlak mulia. Kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemboleh daya utama dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan dan inovasi pendidikan tinggi termasuk penyediaan bakat tempatan profesional dalam bidang AI,” katanya.

Beliau berkata pelan itu turut menekankan penguasaan bahasa dan kemahiran pelbagai bahasa, dengan bahasa Melayu terus diperkukuh sebagai bahasa ilmu manakala bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab serta bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak diperkembangkan dalam sistem universiti tempatan.

Menurut Zambry, PPTM turut memperkukuh akses pendidikan inklusif dengan membuka laluan yang lebih fleksibel kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi bagi memastikan setiap pelajar berpeluang melanjutkan pengajian mengikut kelayakan dan minat masing-masing.

Beliau berkata langkah-langkah yang akan diambil termasuk peluasan laluan kemasukan, pembukaan laluan fleksibel antara disiplin melalui perungkaian pendidikan tinggi dan penyediaan lebih banyak program berimpak tinggi untuk lepasan kedua-dua aliran STPM dan matrikulasi.

“Matlamatnya jelas iaitu tiada bakat terpinggir, tiada pelajar yang tercicir daripada peluang pendidikan tinggi,” katanya.

Selain itu, Zambry berkata pelan berkenaan turut memperkukuh inisiatif menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, berikutan kedudukan lima universiti tempatan dalam 10 terbaik ASEAN serta pertumbuhan pesat kerjasama dengan industri global seperti Intel di Universiti Sains Malaysia.

Beliau berkata dengan strategi yang digariskan, PPTM menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi ASEAN, destinasi pilihan pelajar antarabangsa dan pusat penyelidikan, inovasi dan teknologi masa hadapan.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan pelaksanaan pelan ini berjalan secara berfasa, tersusun dan inklusif,” katanya.

Zambry berkata pelan itu hasil usaha kolektif melibatkan 8,226 pihak berkepentingan termasuk institusi pendidikan awam dan swasta, politeknik dan kolej, industri, majikan, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Beliau berkata penglibatan badan profesional, pertubuhan masyarakat, para sarjana, tokoh akademik serta wakil komuniti Sabah dan Sarawak menggambarkan pelan yang dibangunkan bukan pelan KPT semata-mata, tetapi pelan negara yang dirangka untuk kepentingan rakyat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan