DUNIA > BERITA

KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI MEDAN AGIH BANTUAN BANJIR DI ACEH TAMIANG

10/12/2025 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia di Medan pada Rabu melaksanakan Program Peduli Bencana Banjir (P2B2) siri kedua di Aceh Tamiang, Indonesia dengan kerjasama Mercy Malaysia, Diaspora Malaysia di Medan serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI).

Konsulat Jeneral itu memaklumkan bahawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas telah diagihkan kepada lebih 1,000 keluarga terjejas banjir di Kampung Dato' Desa Tanjung Manchang dan Dusun Alur Hitam, yang terletak kira-kira 135 kilometer (km) dari Medan.

“Bantuan yang diagihkan turut merangkumi bekalan makanan asas, kelengkapan solat seperti sejadah dan telekung, serta barangan kebersihan diri termasuk sabun, tuala wanita, berus gigi dan ubat gigi,” katanya dalam kenyataan.

Bupati Aceh Tamiang, Inspektor Jeneral Armia Pahmi, yang menyambut ketibaan pasukan Malaysia, merakamkan penghargaan atas pelaksanaan misi bantuan itu serta menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif kemanusiaan oleh Kerajaan Malaysia.

Konsul Jeneral Shahril Nizam Abdul Malek turut menyampaikan salam takziah, doa, dan solidariti rakyat Malaysia kepada seluruh warga Indonesia yang terkesan dengan tragedi ini, khususnya masyarakat Aceh Tamiang.

Sementara itu, Konsulat Jeneral memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengesan dua warga Malaysia yang terkandas di Aceh Tamiang sejak 27 Nov semasa menjalankan misi berkenaan.

“Kedua-dua warganegara tersebut berada dalam keadaan sihat dan dimaklumkan akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan