SUKAN > BERITA

PEREBUTAN RAJA PECUT BAKAL HANGATKAN HARI KEDUA SUKAN SEA THAILAND 2025

11/12/2025 12:33 AM

BANGKOK, 10 Dis (Bernama) -- Pertandingan olahraga Sukan SEA Thailand 2025 yang membuka tirai esok akan dihangatkan dengan perebutan raja pecut bagi acara 100 meter (m) lelaki di Stadium Supachalasai, di sini.

Di atas kertas, jaguh tuan rumah Puripol Boonson menjadi pilihan utama yang pastinya enggan menghampakan peminat tempatan dengan mendominasi acara riben biru itu, apatah lagi selepas muncul pelari terpantas dari rantau ini menerusi pecutan 10.15 saat (s) dilakar pada Grand Prix di Chongqing, China, Mei lepas.

Bagaimanapun, Puripol tidak boleh memandang ringan saingan pencabar terdekat Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang muncul pelari kedua Asia Tenggara terbaik tahun ini selepas merekodkan 10.21s pada kejohanan di Miyakonojo, Jepun, Okt lepas.

Kelibat pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee pula diharapkan dapat melakar kejutan pada penampilan sulungnya di pentas temasya dwitahunan itu.

Danish, yang muncul pelari ketiga terpantas, mencatat 10.26s, yang juga catatan peribadi terbaiknya semasa merangkul emas 100m lelaki pada Terbuka Malaysia di Kangar pada Ogos.

Catatan tersebut juga bukan sahaja mengesahkan slot ke Sukan SEA 2025 bagi atlet berusia 18 tahun itu malah melepasi masa dicatatkan pemenang emas edisi lepas di Phnom Penh, Soraoat Dabbang dari Thailand dengan 10.37s.

Selain Danish, harapan Malaysia turut diletakkan kepada pelari senior Jonathan Nyepa yang bakal turun dalam Sukan SEA keenamnya sejak edisi Singapura 2015.

Sementara itu, kontinjen negara membuka tirai kempen Sukan SEA kali ini dengan menyumbang dua emas, dua perak dan lapan gangsa untuk menduduki tempat ketujuh carta pingat setakat 9.30 malam waktu tempatan.

Dua emas tersebut hadir menerusi skuad hoki lelaki lima sebelah (5s) yang membenam Indonesia 7-3 dan kejutan dari trio Seah Jing Ying Seah, Wong Zin dan Yow Mei Yee yang merangkul emas acara poomsae berpasukan wanita recognised untuk sukan taekwondo.

Skuad badminton negara pula kecewa apabila penantian emas acara berpasukan lelaki selama dua dekad berterusan selepas tumbang 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia.

Dalam pada itu, tuan rumah cemerlang di kedudukan teratas carta dengan 18 emas, 12 perak dan sembilan gangsa diikuti Indonesia (5-9-7) di tempat kedua dan Singapura di tempat ketiga (4-4-4).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan