AM > BERITA

Dermaga Air Dalam Butterworth Catat Pertumbuhan Kargo Eksport Cemerlang Pada Suku Ketiga - SPPP

11/12/2025 03:52 PM

GEORGE TOWN, 11 Dis (Bernama) -- Dermaga Air Dalam Butterworth mencatatkan pertumbuhan kargo eksport yang mengagumkan pada suku ketiga 2025, dengan prestasi keseluruhan jauh mengatasi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata jumlah kargo di Zon Perdagangan Bebas melonjak kepada 20.40 juta tan pada 2025 berbanding 4.93 juta tan pada 2024, peningkatan sebanyak 313.54 peratus.

“Eksport pula mencatat lonjakan yang lebih luar biasa, meningkat daripada 202,119 tan kepada 2.59 juta tan, mewakili pertumbuhan sebanyak 1,181.59 peratus.

“Data terkini itu mengukuhkan lagi peranan sistem pelabuhan Pulau Pinang yang semakin mantap sebagai hab perdagangan serantau utama.

"Pengembangan pesat ini didorong terutama oleh peningkatan aktiviti eksport, dengan lebih banyak pengisytiharan perdagangan memilih Pulau Pinang sebagai saluran eksport pilihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permintaan domestik yang semakin berkembang turut menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan nilai tambah meliputi sektor seperti minuman beralkohol, resin plastik, komponen elektrik dan produk plastik.

Yeoh menekankan bahawa lonjakan eksport bukan sahaja mengukuhkan prestasi pelabuhan malah memberikan manfaat yang jelas kepada ekonomi wilayah utara.

 Menurutnya pertumbuhan itu telah mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pendapatan bagi perusahaan dan pembekal tempatan serta memperkukuh industri perkhidmatan pelabuhan, logistik, pergudangan dan rantaian bekalan.

Katanya perusahaan kecil dan sederhana turut mendapat manfaat daripada rangkaian perdagangan yang lebih aktif sekali gus meningkatkan daya saing pasaran mereka manakala pertumbuhan eksport yang kukuh dan pengembangan perkhidmatan berasaskan nilai tambah terus memperteguh peranan Pulau Pinang sebagai hab perdagangan serantau.

“SPPP akan terus melaksanakan pelan pemodenan untuk menambah baik kecekapan operasi dan infrastruktur, memastikan daya saing yang berterusan sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan