PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) komited memperkukuh keselamatan maritim negara dengan memperhebat rondaan dan penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti menjadi laluan utama aktiviti jenayah, termasuk penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan migran.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata usaha itu antara langkah strategik agensi berkenaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara menjelang tahun hadapan.
“Kepimpinan APMM di semua peringkat kini diarahkan memberi perhatian penuh kepada pemantauan operasi, keberkesanan rondaan serta kesiapsiagaan penguatkuasaan menjelang 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata APMM menyambut saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini agar melaksanakan tindakan segera isu-isu yang mendatangkan keresahan masyarakat di negara ini termasuk isu PATI dan penyeludupan migran.
Saifuddin Nasution dilaporkan berkata kes seperti kematian dalam lokap, eksploitasi manusia dan isu diskriminasi pelarian akan menjadi perhatian badan antarabangsa seperti pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Rosli berkata APMM tidak akan berkompromi dengan aktiviti berkenaan dan akan memperketat pengawasan di laut, meningkatkan rondaan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh masuk melalui zon maritim negara.
Beliau berkata dengan langkah pemantauan yang diperketat dan penguatkuasaan yang lebih agresif, APMM yakin keselamatan perairan negara akan berada pada tahap lebih kukuh dan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial