KUALA SELANGOR, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan menegaskan komitmen untuk memperkukuh penyertaan bumiputera dalam sektor ternakan berikutan kadar sara diri (SSR) bagi beberapa komoditi utama negara masih berada pada tahap rendah dan jauh daripada sasaran nasional menjelang 2030.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berdasarkan data tahun lepas, SSR daging lembu kekal sekitar 17 peratus, kambing (9 peratus) dan susu segar (67 peratus), sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan pengeluaran tempatan secara lebih agresif.
Beliau berkata bagi komoditi seperti ayam dan telur, tahap SSR yang stabil berjaya dicapai iaitu masing-masing pada 93 peratus dan 107 peratus, namun negara tidak boleh berpuas hati dengan angka itu dan perlu terus bergerak ke hadapan dalam meneroka potensi eksport yang lebih luas.
“Seiring dengan teras Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah menetapkan pertumbuhan sumbangan nilai tambah sektor ternakan sebanyak RM19.7 bilion.
“Ini termasuk meningkatkan SSR bagi daging ayam dan telur ayam/itik masing-masing kepada 140 peratus dan 123 peratus serta mengekalkan SSR bagi daging lembu/kerbau (50 peratus), kambing/bebiri daging (30 peratus) dan susu segar (100 peratus) menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Sembelihan Colla Cattle Farm (RSC) di sini hari ini.
Mohamad berkata dalam mencapai tujuan itu, kementeriannya sentiasa menyokong penyertaan syarikat komersial baharu serta syarikat penternakan sedia ada untuk meningkatkan pelaburan dalam industri ruminan melalui sokongan teknikal dan insentif bersesuaian.
Beliau berkata pengukuhan ekosistem ruminan merangkumi pembiakbakaan, kesihatan haiwan termasuk pembangunan vaksin, pengurangan kos makanan ternakan, peningkatan sistem pemasaran dan penggunaan teknologi ladang moden.
“Kementerian bersama agensi berkaitan perlu menggandakan usaha memastikan pelaksanaan semua program baharu dan program sedia ada dipantau rapi supaya sasaran SSR tercapai mengikut jadual.
“Setiap inisiatif mesti memberi kesan langsung kepada penambahan pengeluaran ruminan negara dan bukan sekadar rekod di atas kertas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut meluahkan kebimbangan terhadap aktiviti penyeludupan haiwan ruminan dari negara jiran yang membawa risiko seperti kawalan penyakit serta kestabilan pasaran yang seterusnya mampu menyukarkan usaha untuk meningkatkan tahap SSR, sekali gus mengurangkan kebergantungan import negara.
Beliau berkata kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan perkara berkenaan berjaya dikekang selain pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan aktiviti terbabit.
“Isu ini sedang ditangani melalui inisiatif menangani aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Pemeriksaan dan Kuarantin Malaysia (MAQIS),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial