AM > BERITA

Pasca Banjir: Perlis Beri Rebat Penggunaan 10,000 Liter Air Kepada Pengguna Domestik

11/12/2025 09:37 PM

KANGAR, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perlis akan memberikan rebat untuk penggunaan 10,000 liter air bagi bil Disember ini kepada semua pengguna domestik di negeri itu, sebagai usaha meringankan beban rakyat Perlis menghadapi pasca banjir.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata ia merupakan “hadiah” kepada rakyat negeri itu, dalam proses pemulihan pada peringkat isi rumah berikutan banyak kawasan terjejas dengan masalah tekanan air rendah, selain kerosakan infrastruktur berkaitan susulan banjir pada penghujung November lepas.

“Usaha ini bagi membantu mereka membersihkan rumah, mencuci semula barang-barang serta menangani masalah tekanan air yang rendah,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata kerja pembaikan menyeluruh terhadap infrastruktur bekalan air yang terjejas akibat banjir berkenaan telah dilakukan, termasuk membawa masuk mekanik dari luar bagi menyegerakan proses pemulihan.

“Namun beberapa kawasan seperti di Sungai Chuchuh (Padang Besar) masih mengalami tekanan rendah. Insya-Allah SAP (Syarikat Air Perlis) akan dapat selesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan