AM > BERITA

JPN Pertimbang Tawaran Serah Semula MyKad Dwiwarganegara Secara Sukarela

12/12/2025 04:38 PM

BACHOK, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia untuk mempertimbangkan cadangan penyerahan semula MyKad pemilik yang mempunyai dua kewarganegaraan secara sukarela tanpa mengenakan sebarang tindakan.

Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendekatan itu mungkin boleh dilaksanakan untuk melihat sejauh mana kesediaan pemilik kad pengenalan dwiwarganegara untuk tampil membuat pilihan kerakyatan mereka.

"Setakat ini, kita belum buat tawaran atau inisiatif ini, tetapi saya lihat perkara ini satu cadangan yang baik untuk kita melihat setakat mana sambutan yang kita akan terima melalui tawaran ini.

"Berkaitan hal ini, tindakan kita hanya membabitkan pelucutan satu daripada kewarganegaraan yang mereka miliki dan bukan tindakan undang-undang lain atau membabitkan sebarang tangkapan, bahkan dalam keadaan ini mereka boleh memilih kewarganegaraan yang dikehendaki dan tiada mandatori yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan kepada Shaharuddin Basir, 58, yang menanti 46 tahun untuk memiliki dokumen itu, pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Keting, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata kerajaan tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan dan tindakan pelucutan terhadap status warganegara boleh diambil sekiranya terbukti bersalah.

Beliau, bagaimanapun berkata JPN tidak mempunyai rekod atau maklumat tentang mereka yang mempunyai dua warganegara, namun pihaknya boleh mengambil tindakan jika menerima aduan berdasarkan peruntukan Perkara 24(1) dan 24(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Pelucutan kewarganegaraan ini satu proses yang agak sukar ditentukan kerana perlu melalui satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh hakim yang dilantik dan tindakan diambil selepas didapati bersalah," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan berhubung pemilikan dua kewarganegaraan dengan kerajaan Thailand pada hujung tahun lepas berikutan pengukuhan kawalan sempadan negara.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menegaskan dasar kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan, dengan tindakan pelucutan terhadap status warganegara boleh diambil sekiranya terbukti bersalah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan pelucutan status warganegara boleh diambil berdasarkan peruntukan Perkara 24(1) dan 24(2) Perlembagaan Persekutuan, bergantung pada dua kategori kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan