KOTA BHARU, 12 Dis (Bernama) -- Sebanyak 23 Rukun Tetangga (RT) Progresif direkodkan di Kelantan dengan peruntukan berjumlah RM1.29 juta pada tahun ini.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan Zarina Zakaria berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun lepas yang hanya 14 RT Progresif diluluskan untuk membantu meningkatkan pendapatan ekonomi komuniti setempat.
"Pelaksanaan RT Progresif ini bukan sahaja memberikan peluang kepada komuniti untuk meningkatkan pendapatan, malah turut menghidupkan semangat saling bekerjasama dan berdikari dalam kalangan penduduk setempat.
"Peningkatan jumlah RT Progresif ini juga mencerminkan kesungguhan dan komitmen masyarakat untuk bangkit membina ekonomi komuniti secara bersama," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Durian di Tanah Merah, Akmal Ramli berkata peruntukan sebanyak RM65,300 yang diterima pihaknya akan digunakan untuk mengembangkan lagi ternakan ayam belanda yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak 2020.
Katanya, sokongan berterusan daripada agensi terlibat seperti JPNIN, Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian turut memperkukuh pelaksanaan projek ternakan ayam belanda yang diusahakan oleh penduduk di kampung ini.
"Melalui bimbingan teknikal yang diberi merangkumi penggunaan reban moden, aspek penjagaan kesihatan ayam belanda serta kaedah pengurusan makanan ternakan yang lebih efisien, membolehkan komuniti mengurus ternakan secara lebih tersusun.
"Setakat ini, kami mempunyai lima baka ayam belanda termasuk red bourbon, black spanish, royal palm, dan blue slate … penjagaan haiwan ini tidaklah merumitkan, tetapi perlu dipantau dari umur satu hari hingga lima bulan," katanya.
Beliau berkata pihaknya merancang memperluas skala ternakan serta menjadikan ayam belanda sebagai produk identiti komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial