AM > BERITA

MUIP Salur RM2.8 Juta Bantuan Zakat Peralatan Persekolahan Kepada 6,800 Asnaf

13/12/2025 03:25 PM

KUANTAN, 13 Dis (Bernama) -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan agihan zakat berjumlah RM2.8 juta kepada 6,800 asnaf menerusi Program Bantuan Zakat Peralatan Persekolahan 2026 yang bermula hari ini hingga Februari tahun depan.

Pemangku Pengarah Bahagian Agihan Zakat MUIP Muhammad Khairuddin Husin berkata bantuan berkenaan disalurkan dalam bentuk kredit tanpa tunai yang dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan penerima bagi membolehkan mereka membuat pembelian keperluan persekolahan secara sendiri.

“Kredit yang dimasukkan ke dalam kad pengenalan penerima boleh digunakan untuk membeli keperluan seperti pakaian sekolah, kasut, alat tulis dan pakaian sukan di pasar raya yang terlibat,” katanya di sebuah pasar raya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata program itu adalah sebahagian daripada skim agihan zakat tahunan MUIP, khususnya bagi meringankan beban penerima bantuan asnaf bulanan menjelang sesi persekolahan.

“Tahun lepas (MUIP) peruntukan RM2 juta, pada tahun ini kami menambah lagi (peruntukan) kerana bilangan penerima juga bertambah,” katanya.

Beliau berkata bantuan itu melibatkan murid-murid berumur antara empat hingga 17 tahun, selaras dengan keperluan pendidikan semasa termasuk pendidikan awal kanak-kanak.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan