AM > BERITA

Agensi Kerajaan Diminta Beri Sokongan Kepada PKS Muslim, Bumiputera

13/12/2025 04:36 PM

GEORGE TOWN, 13 Dis (Bernama) -- Agensi-agensi kerajaan perlu memberikan sokongan menyeluruh dari segi infrastruktur dan pemudah cara kepada komuniti perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Muslim dan bumiputera termasuk di Pulau Pinang bagi memastikan agenda membangunkan ekonomi dapat dilaksanakan secara mampan.

Presiden Liga Muslim Pulau Pinang Datuk Haja Najmudeen Kader berkata sokongan itu penting berikutan golongan berkenaan kini berdepan pelbagai cabaran yang memerlukan infrastruktur dan bimbingan berterusan bagi memastikan perniagaan mereka dapat berkembang serta lebih berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau berkata Konvensyen Agenda Pembangunan Ekonomi Muslim (APEM) yang dianjurkan hari ini bertujuan menyediakan platform bagi menyelaraskan kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri dan usahawan supaya semua pihak dapat bergerak dengan agenda sama, iaitu pembangunan PKS.

“Ramai dalam kalangan usahawan dan ahli perniagaan mempunyai hasrat untuk memajukan perniagaan tetapi mereka kekurangan dari segi infrastruktur, sebab itu kami memerlukan sokongan daripada agensi yang mempunyai kemudahan dan keupayaan untuk membantu.

“Penglibatan agensi-agensi dalam konvensyen ini dapat membuka ruang kerjasama bersepadu supaya agenda membangunkan ekonomi bumiputera dan Muslim dapat dilaksanakan secara bersama,” katanya selepas merasmikan Konvensyen APEM 2.0 di sini hari ini.

Beliau berkata antara agensi yang dijemput pada konvensyen itu adalah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Haja Najmudeen berkata Liga Muslim Pulau Pinang turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Kerjasama yang menghimpunkan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan pemain industri bagi memudah cara pelaksanaan pembangunan ekonomi berasaskan kawasan.

“Jawatankuasa ini akan memberi tumpuan kepada semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat dilaksanakan dengan efektif umpamanya jika terdapat kawasan berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat-pusat ekonomi, kami akan beri fokus serta bincang secara terperinci, begitu juga kawasan terbiar,” katanya.

Beliau berkata semua perkara yang dirumuskan dalam konvensyen itu termasuk cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan akan diusulkan kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan