MELAKA, 13 Dis (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyumbang RM300,000 kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk disalurkan kepada tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata setiap IPD bakal menerima RM100,000 sebagai bantuan kebajikan kepada anak-anak polis, bekas polis mahupun anggota agensi keselamatan itu yang masih bertugas.
“Sumbangan dihulurkan kerajaan hari ini mungkin tidak seberapa namun ia membawa satu mesej jelas bahawa pengorbanan wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh ahli keluarga mereka sentiasa terpahat dalam ingatan dan tanggungjawab negara.
“Semoga sentuhan ini menjadi sumber kekuatan buat anak-anak untuk terus melangkah jauh dalam dunia pendidikan dan menjadi penawar buat mereka yang sedang diuji,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Jelajah Wira MADANI: Bantuan Khas Persekolahan untuk Anak-anak Warga IPK Melaka yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar di IPK Melaka di sini hari ini.
Sebanyak 357 anak-anak anggota polis menerima bantuan persekolahan berupa wang tunai antara RM100 dan RM150 serta baucar manakala tiga pesara polis menerima sumbangan wang tunai RM500.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata penyaluran peruntukan khas itu mencerminkan kesungguhan serta komitmen kerajaan memperkasakan nilai-nilai MADANI untuk membangunkan ekosistem kekeluargaan yang lebih mampan dan sejahtera berteraskan roh keyakinan, nilai hormat dan ihsan dalam keluarga besar Sang Saka Biru.
"Saya percaya, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak mampu meringankan beban warga pasukan, tambahan pula sesi persekolahan 2026 akan bermula tidak lama lagi.
"Pada masa yang sama, ia mampu menyuntik semangat dan keceriaan kepada anak-anak warga PDRM untuk terus menggali potensi diri dan menzahirkan kecemerlangan demi masa depan yang gemilang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial