SHAH ALAM, 13 Dis (Bernama) -- Persiapan untuk menyambut Hari Krismas pada 25 Dis semakin rancak apabila beberapa pusat membeli-belah di sini dipenuhi pengunjung yang membeli barangan hiasan, hadiah dan kelengkapan perayaan.
Tinjauan Bernama mendapati ramai mengambil peluang cuti hujung minggu hari ini, untuk membuat persiapan bagi memeriahkan suasana semasa meraikan perayaan itu bersama-sama keluarga.
Pekerja swasta, Patricia Samuel, 62, berkata memilih untuk bersederhana dan berbelanja dengan berhemah dalam menyambut Hari Krismas tahun ini disebabkan faktor ekonomi semasa.
“Sebahagian besar saya masih menggunakan dekorasi lama yang disimpan dengan baik dari tahun lepas. Walaupun ada harga meningkat, kita tetap perlu berbelanja secara sederhana kerana Krismas perlu diraikan.
“Jika dulu bahan dekorasi yang dibeli secara dalam talian dari China lebih murah, tetapi kini harganya meningkat antara 10 hingga 15 peratus,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata semangat membuat persiapan Hari Krismas perlu diteruskan kerana tradisi itu merupakan penghubung untuk menyatukan keluarga selain meraikan kebersamaan serta kasih sayang.
Sementara itu, guru yang bertugas di Scotland, Riana Alex, 26, berkata membuat perancangan awal amat penting baginya supaya persiapan Hari Krismas lancar kerana melibatkan perbelanjaan besar.
Riana semasa dihubungi berkata tinggal jauh daripada keluarga membuatkan kepulangan ke tanah air untuk menyambut perayaan itu menjadi sesuatu yang amat dinantikan bagi melepaskan rindu dan bertemu insan rapat.
“Bagi memastikan semuanya mencukupi, kami mula menyimpan wang seawal Mei atau Jun setiap tahun.
“Ini kerana sambutan Krismas (untuk kami) memang melibatkan perbelanjaan besar, jadi perlu berjimat dan tidak berbelanja berlebihan sepanjang tahun,” katanya.
Jurutera Adrian Tan, 32, berkata persiapan Hari Krismas masih diteruskan walaupun sambutan tahun ini lebih sederhana berbanding tahun sebelumnya, selepas ayahnya meninggal dunia pada Julai lepas akibat kencing manis.
Beliau berkata seperti biasa, akan membeli hadiah untuk semua ahli keluarga dan berkumpul bersama-sama ibu dan dua kakak yang bekerja di luar Selangor bagi mengekalkan tradisi perayaan yang diamalkan keluarganya sejak dahulu.
“Tahun ini suasananya sudah pasti tidak sama namun sambutan Krismas tetap penting kerana ia masa untuk kami berkumpul. Walaupun masih terasa dengan kehilangan ayah, kami mahu meneruskan tradisi perayaan dan menguatkan antara satu sama lain,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial