JOHOR BAHRU, 13 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) akan menjalankan siasatan dalaman bagi menentukan punca sebenar insiden kren runtuh yang berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan di jeti Kompleks Tanjung Bin, Pontian di sini hari ini.
Kenyataan syarikat itu memaklumkan bahawa insiden itu berlaku pada kira-kira 12 tengah hari dan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) loji segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Susulan insiden itu, dua pekerja kontraktor terbabit telah meninggal dunia manakala tiga lagi cedera dan dimasukkan ke hospital,” menurut kenyataan itu.
Malakoff turut memaklumkan bahawa kawasan terjejas telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, dan siasatan akan dimulakan sebaik sahaja operasi menyelamat selesai sepenuhnya.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua kakitangan yang terlibat kekal sebagai keutamaan tertinggi kami,” katanya.
Sementara itu, syarikat berkenaan memaklumkan bahawa operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin serta Loji Janakuasa Tenaga Tanjung Bin akan diteruskan seperti biasa dan tidak terjejas oleh insiden tersebut.
Malakoff memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan maklumat lanjut jika terdapat sebarang perkembangan penting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial