AM > BERITA

Bahasa Melayu, Inggeris Sama Penting Dalam Era AI Dan Digital - PM Anwar

13/12/2025 07:59 PM

PETALING JAYA, 13 Dis (Bernama) -- Kerajaan kekal komited memastikan bahasa Melayu berperanan dengan berkesan sebagai bahasa pengantar serta medium pengetahuan dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagaimanapun, pelajar perlu menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang penting untuk kekal kompetitif di peringkat antarabangsa dan penekanan terhadap kedua-dua dua bahasa itu perlu bagi memastikan kelangsungan negara dalam dunia global tanpa mengabaikan bahasa kebangsaan.

“Kita mahu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa pembelajaran supaya dalam bidang teknologi digital dan AI, pengajaran juga boleh menggunakan bahasa Melayu.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan generasi muda meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris… demi kelangsungan anak-anak kita dalam dunia global,” kata beliau berucap pada Majlis Minum Petang Sempena Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ibu bapa daripada semua aliran pendidikan mempunyai hasrat yang sama supaya anak-anak mereka mengusai bahasa Melayu dan Inggeris.

Beliau berkata pendekatan kerajaan bukanlah bersifat “zero-sum game”, sebaliknya adalah dasar yang seimbang selaras dengan keutamaan negara dan realiti ekonomi.

“Tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia wajar dipuji, namun kita juga perlu mengakui dalam dunia global ini, dengan Malaysia muncul sebagai negara perdagangan penting yang meneroka teknologi baharu, kita perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang bukan sekadar mata pelajaran tambahan, tetapi juga dengan matlamat untuk menguasai sepenuhnya,” kata beliau.

Semalam, Anwar berkata sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata selaku Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan