KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Kejohanan Boling HAWANA 2025 membuka tirai Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, sekali gus meneruskan tradisi menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai organisasi di negara ini.
Kejohanan boling itu merupakan acara sukan pertama dianjurkan tahun ini, sebelum disusuli sukan bola sepak, bola jaring dan permainan tradisional pada minggu hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata Kejohanan Boling HAWANA 2025 yang merupakan penganjuran kali keempat, bukan sekadar medan persaingan, tetapi platform untuk mengeratkan hubungan sesama pengamal media.
Sebanyak 32 pasukan melibatkan 135 pengamal media arus perdana, digital dan bebas mengambil bahagian dalam kejohanan di Wangsa Bowl One Utama, di sini hari ini.
Penyertaan meliputi media seperti Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Media Tamil Malaysia, Astro, Harian Metro, Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM), Sinar Harian, REV Media, TV3, New Straits Times (NST), TV AlHijrah dan China Press Berhad.
Pada kejohanan itu, pasukan Metro Rangers muncul juara kategori Media Berpasukan selepas melakukan 2,049 jatuhan pin.
Bagi kategori Individu (High Series) Lelaki, Shahril Saari daripada Astro AWANI muncul juara dengan 568 jatuhan pin, manakala Sharifah Omar daripada Metro Rangers merangkul kategori Individu (High Series) Wanita dengan 493 jatuhan pin.
Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj muncul juara Individu (High Series) Lelaki kategori VIP dengan 319 jatuhan pin, sementara Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz memenangi Individu (High Series) Wanita kategori VIP dengan 396 jatuhan pin.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM7,000, termasuk RM1,000 bagi juara kategori media berpasukan.
Turut hadir pada acara itu ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak, Pengarah IPPTAR Datuk Roslan Ariffin dan Pengurus Besar On Air Presentation (OAP) NCA Media Prima Bhd Kamaruddin Mape.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial