Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin hampir mencipta sejarah apabila hanya terlepas pingat emas dalam acara lelaki 65 kilogram (kg) di Sukan SEA Thailand 2025, selepas tewas tipis 1kg kepada wakil tuan rumah Patsaphong Thongsuk, hari ini.
Aznil mencatat jumlah angkatan 306kg, hasil 133kg dalam acara snatch dan 173kg dalam clean and jerk, manakala Thongsuk muncul juara dengan 307kg (134kg snatch / 173kg clean and jerk).
Pingat gangsa menjadi milik Eko Yuli Irawan dari Indonesia dengan jumlah 304kg, iaitu 138kg snatch dan 166kg clean and jerk.
“Memang ada rasa terkilan dan sedih apabila hanya dipisahkan sedikit daripada meraih emas, tetapi saya sudah memberikan yang terbaik, mungkin ini belum rezeki saya untuk dapat emas.
“Kalau ada sesuatu yang saya boleh ubah (dalam final) ialah mungkin saya akan lebihkan (beban) dalam snatch, kalau saya dapat buat mungkin lebih cerah peluang untuk dapat emas,” kata pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel kepada Bernama, hari ini.
Ini merupakan penyertaan kelima Aznil di Sukan SEA. Sebelumnya, beliau pernah memenangi gangsa dan perak dalam kategori 61kg pada edisi 2019 di Filipina dan 2021 di Vietnam.
Untuk rekod, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) masih bertekad menamatkan penantian 20 tahun negara untuk meraih emas di Sukan SEA, selepas kali terakhir pada edisi 2005 di Filipina melalui Che Mod Azrol Che Mat dalam kategori 105kg ke atas.
Acara angkat berat di Sukan SEA Thailand 2025 bermula semalam dan dijadualkan berlangsung sehingga Rabu depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial