AM > BERITA

53.9 Peratus Lepasan SPM Pilih TVET, Hampir Capai Sasaran 70 Peratus RMK13 - TPM Ahmad Zahid

15/12/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Seramai 53.9 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menghampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian itu menunjukkan usaha merombak ekosistem pendidikan negara ke arah bidang berkemahiran tinggi kini berada pada landasan yang betul.

“Pada akhir RMK13 nanti kita berhasrat supaya lepasan SPM ini, 70 peratus daripada mereka berada dalam sektor TVET tinggi dan ini telah dapat dicapai setakat ini dengan pencapaian 53.9 peratus. Maksudnya kita memerlukan kira-kira 17 peratus saja untuk capai matlamat itu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja beliau ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 439,000 pelajar TVET di seluruh negara melibatkan 1,398 institusi, satu angka yang disifatkan signifikan dalam usaha merubah landskap pendidikan negara.

Menurutnya sasaran RMK13 itu mampu dicapai melalui usaha berterusan UniKL dan fakulti-fakulti di bawah universiti berkenaan, selain sokongan institusi TVET lain tanpa mengetepikan kursus tradisional bagi sektor yang tidak memerlukan kepakaran tinggi.

Sementara itu, UniKL BMI dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja Ahmad Zahid itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan institusi berkenaan sebagai peneraju pembangunan modal insan TVET, khususnya dalam sektor tenaga elektrik, elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan bioperubatan elektronik

Pada sesi lawatan kerja itu, Ahmad Zahid turut merasmikan bangunan Sustainable Energy Living Lab (SELL), bangunan net-zero/energy-plus pertama di Malaysia dilengkapi teknologi penjanaan dan pengurusan tenaga pintar bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan