Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia terus berusaha menambah kutipan 200 pingat disasarkan apabila skuad negara cemerlang meraih enam emas pada hari keenam Temasya Sukan SEA 2025, yang sedang berlangsung di bumi Thailand.
Tumpuan utama terarah kepada skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) lelaki negara yang diharapkan mencipta magis untuk mara ke pentas final bagi merebut ‘ibu segala pingat’.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila anak buah Mohd Nafuzi Zain tewas 1-0 kepada Thailand, yang juga naib juara edisi 2023 pada aksi separuh akhir di Stadium Rajamangala di sini hari ini.
Bagaimanapun, kecemerlangan atlet negara dalam lima cabang sukan berjaya mengubat kekecewaan tersebut.
Sukan wushu menyumbang dua pingat emas apabila Tan Cheong Min menutup kempen dengan bergaya selepas memenangi emas bagi gabungan tiga disiplin nanquan, nandao dan nangun wanita.
Beliau kemudiannya bergandingan cemerlang dengan Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee untuk menghadiahkan satu lagi emas menerusi acara duilian (bersenjata) wanita di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana, di sini.
Sementara itu,Malaysia menamatkan kemarau lapan tahun emas acara gimnastik berirama berpasukan wanita Sukan SEA selepas memperagakan rutin konsisten dalam semua aparatus untuk mengumpul 234.60 mata.
Barisan pemenang pingat emas dibarisi Valeria Ng, Bernice See, Syamimi Amalia Shahrizam, Carol Yuan, Ng Joe Ee, Mavia Wong, Lim Xian Yar, Miai Ong Xiao Han dan Lai Yun Jo.
Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar pula menebus kegagalan merangkul emas hatrik lompat kijang lelaki Khamis lepas dengan mengungguli acara lompat jauh lelaki di Stadium Nasional Suphachalasai di sini.
Kejayaan tersebut menyaksikan atlet berusia 26 tahun itu melakukan lompatan 7.71 meter (m) untuk merangkul emas, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun negara dalam acara tersebut yang kali terakhir dimenangi Shahrul Amri Suhaimi pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.
Di Stadium Thunder Dome, trio negara Thor Chuan Leong, Moh Keen Hoo dan Lim Kok Leong tampil cemerlang bagi memastikan pingat emas snuker dalam acara 6-Red berpasukan lelaki menjadi milik Malaysia, sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan dua pingat emas dikumpul kem snuker setakat ini.
Kolam renang di Sports Authority of Thailand kemudian menjadi saksi jaguh renang negara Khiew Hoe Yean merangkul pingat emas keduanya di temasya itu selepas melakar kemenangan dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki.
Thailand kekal di persada carta pingat selepas mengumpul keseluruhan 145 emas, 87 perak dan 59 gangsa, diikuti Indonesia (52,65,64), Vietnam (39,47,70) manakala Malaysia di tempat kelima dengan pungutan 26 emas, 28 perak dan 80 gangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial