AM > BERITA

Malaysia Perlu Perkukuh Strategi Kesihatan Mental Berasaskan Gaya Hidup - MMA

15/12/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu memperkukuh strategi kesihatan mental berasaskan gaya hidup berikutan peningkatan kes kemurungan dan tekanan di tempat kerja yang terus membebankan negara, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr R. Thirunavukarasu.

Berucap pada majlis perasmian Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia kelima di sini baru-baru ini, beliau berkata kesihatan mental kini menjadi satu “cabaran utama”, dengan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 menunjukkan seorang daripada tiga rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. 

Beliau berkata kadar kemurungan telah meningkat dua kali ganda sejak 2019, manakala hampir separuh daripada golongan muda pernah terfikir untuk mencederakan diri sendiri.

“Angka ini bukan sekadar statistik. Mereka adalah pelajar, doktor, rakan sekerja dan pesakit kita. Kerugian produktiviti tahunan sebanyak RM14.5 bilion adalah berkaitan dengan keadaan kesihatan mental,” katanya.  Teks ucapan beliau diedarkan kepada Bernama. 

Dr Thirunavukarasu berkata perubatan gaya hidup mampu membantu menangani punca sebenar tekanan manakala kira-kira 30 peratus daripada hasil kesihatan dibentuk oleh pemakanan, aktiviti fizikal, tidur dan pengurusan stres.

“Perkara ini bukan tentang menggantikan ubat. Ia mengenai apa yang ubat sendiri tidak mampu - iaitu punca sebenar masalah,” katanya.

Beliau berkata MMA menyokong penguatkuasaan dasar kesejahteraan di tempat kerja yang lebih kukuh, langkah pencegahan lesu upaya pekerjaan, penyepaduan perubatan gaya hidup ke dalam garis panduan klinikal, modul Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) dan skim kesihatan berasaskan majikan.

Dr Thirunavukarasu berkata kesihatan mental dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan perlu diutamakan, di samping menyatakan kajian oleh Persatuan Perubatan Amerika (AMA) di Amerika Syarikat mendapati kira-kira 50 peratus doktor mengalami lesu upaya, sekali gus menekankan isu global yang perlu ditangani oleh Malaysia.

Sementara itu, pengerusi penganjur persidangan yang juga Presiden dan Pengasas Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) Dr Siva Poobalasingam berkata Malaysia perlu mengambil tindakan tegas dalam menangani beban serentak penyakit tidak berjangkit (NCD) dan tekanan psikologi yang semakin meruncing.

“Kita bukan sahaja menghadapi cabaran kesihatan tetapi juga sedang berdepan cabaran kelestarian insan. Sekiranya kita tidak mengubah cara hidup kita, cara bekerja dan berinteraksi, krisis kesihatan mental akan terus melebihi kemampuan sistem penjagaan kesihatan kita,” katanya.

Persidangan berkenaan turut dihadiri tokoh terkemuka dalam bidang perubatan gaya hidup termasuk Timbalan Dekan Kesihatan Populasi di Weill Cornell Medicine–Qatar Dr Ravinder Mamtani, Dr Elizabeth Frates dari Harvard University dan Ketua Pegawai Perubatan Blue Zones Health® Dr Wayne Dysinger.

Pada persidangan itu, Dr Ravinder turut memberi penghormatan kepada Dr Siva atas kepimpinan dalam memajukan perubatan gaya hidup dan menangani NCD “di peringkat kebangsaan, serantau dan global”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan