AM > BERITA

Orang Ramai Diingat Tidak Lakukan Aktiviti Air Ketika Berkunjung Ke Terengganu

15/12/2025 05:20 PM

KUALA NERUS, 15 Dis (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti air ketika berkunjung ke Terengganu sempena cuti persekolahan akhir tahun bermula minggu depan, terutama pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata aktiviti seperti mandi laut dan berkhemah di kawasan rekreasi air terjun dilarang keras kerana boleh membahayakan nyawa.

Beliau juga meminta pihak hotel dan pengusaha penginapan pelancongan supaya memberi penerangan dan memainkan video mengenai bahaya aktiviti di laut ketika musim tengkujuh.

“Kami faham pengunjung akan banyak pada musim cuti sekolah. Jadi, ada beberapa destinasi yang kami ingatkan supaya elak atau tidak lakukan aktiviti seperti mandi laut atau air terjun kerana risiko kepala air.

“Kami dah bagi nasihat kepada pengusaha hotel dan pengusaha resort terutama di tepi pantai. Untuk pulau kami serah kepada Jabatan Laut untuk benar atau tidak pelancong masuk ke satu-satu lokasi,” katanya selepas melancarkan Kalendar Acara Tahunan (COE) Terengganu 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Hilman Hajijan.

Razali berkata sebanyak 113 acara termasuk 13 program utama disenaraikan dalam kalendar tahun depan berbanding 123 acara tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 8.5 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Terengganu bermula Januari hingga November lepas, melepasi sasaran yang ditetapkan, iaitu 6 juta pelancong.

“Sebanyak 7.2 juta orang terdiri daripada pelancong domestik manakala selebihnya pelancong asing.

“Untuk tahun depan, kami menyasarkan meningkatkan kadar kedatangan pelancong asing hingga ke tahap 30 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan