Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Aisha Hani Nor Azmir
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Sejarah tercipta dalam industri media Malaysia tahun ini apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 pada 26 Feb sebelum diluluskan di Dewan Negara pada 19 Mac.
Ia menjadi simbol pencapaian penting dalam industri media Malaysia selepas cadangan penubuhannya dibincangkan sejak 1973, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
Pada 15 Julai lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan watikah pelantikan anggota Lembaga Pengasas MMM kepada enam daripada 12 anggota yang dilantik berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan dalam bidang kewartawanan, media, akademik serta komunikasi.
Pada 4 Nov, Pengerusi Interim MMM C. Premesh dalam kenyataan memaklumkan kerajaan memperuntukkan kira-kira RM120,000 bagi tahun ini untuk pembiayaan pembangunan keahlian, mesyuarat agung pertama dan aktiviti berkaitan.
Selain itu, Premesh berkata dana operasi untuk pejabat, sekretariat dan aktiviti MMM berjumlah RM4 juta dijangka diterima pada suku pertama 2026 selepas kelulusan belanjawan Kementerian Komunikasi yang dibentangkan di Parlimen.
Pada 7 Nov, sebanyak 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM pada mesyuarat agung pertama majlis berkenaan mewakili tiga kategori iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media serta orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO).
Tahun 2025 turut menandakan lembaran baharu dalam usaha kerajaan memastikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi berkuat kuasa pada Januari lepas.
Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan dan kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.
Sementara itu, misi kerajaan dalam memastikan ekosistem rangkaian Internet yang selamat dan mampan buat pengguna di negara ini dizahirkan menerusi pindaan Akta 588, berkuat kuasa pada 11 Feb 2025.
Pindaan terhadap akta itu menyaksikan beberapa pembaharuan penting bagi menangani jenayah dalam talian seperti pedofilia, penipuan (scam) dan judi dalam talian serta memartabatkan perlindungan terhadap kanak-kanak dan pengguna.
Pindaan itu memperuntukkan hukuman yang lebih berat antaranya denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan yang melibatkan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
Selain itu, penggunaan istilah baharu seperti ‘kandungan yang sumbang dan lain-lain’ menggantikan istilah terdahulu ‘kandungan jelik’ serta penggantian dalam Seksyen 211 untuk menyesuaikan dengan perkembangan digital semasa.
Skop pindaan turut mencakupi Seksyen 233 agar penggunaan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi kandungan tidak disalah guna termasuk untuk tujuan komersial seperti penjualan pornografi, pedofilia dan perjudian dalam talian.
Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan sepanjang tahun, antaranya melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan akses Internet, latihan kemahiran digital, perkhidmatan dalam talian dan literasi digital untuk semua lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan sekolah-sekolah.
Program itu juga memainkan peranan dalam menyemai amalan penggunaan Internet yang selamat serta menyokong pelbagai kempen seperti Kempen Internet Selamat anjuran MCMC.
Projek Inklusif Digital NADI Malaysia turut mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) dalam kategori C4: Pembinaan Kapasiti menerusi Inisiatif NADI Pulau Banggi.
Anugerah itu diterima oleh Fahmi dalam satu majlis rasmi sempena WSIS+20 di Geneva, Switzerland pada 7 Julai lepas.
Bagi meningkatkan kesalinghubungan, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 2 turut dilancarkan dengan sasaran mencapai akses berkelajuan tinggi dan liputan 5G sehingga 98 peratus di kawasan berpenduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial