LAHAD DATU, 16 Dis (Bernama) -- Pemasangan aset keselamatan berteknologi tinggi Big Eyes di Pulau Ligitan serta projek Solar Hibrid di Pulau Pom Pom dan Pulau Boheyan di Semporna bernilai RM4.24 juta itu memperkukuh keupayaan pengawasan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata projek Big Eyes siap pada 28 Nov lepas dilengkapi peralatan termasuk radar serta kamera bagi tujuan pengawasan, manakala dua projek solar hibrid membekalkan sistem bekalan tenaga elektrik lebih stabil kepada kawasan terbabit.
"Kedua-dua projek ini milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui ESSCOM dengan Projek Big Eyes bernilai RM3.94 juta, manakala Projek Solar Hibrid bernilai RM299,795.78, projek ini menyokong penyelarasan Operasi SANGGAH melalui ESSCOM Fusion Center (EFC).
"Projek Big Eyes membolehkan pengoptimuman pengawasan maritim di laluan ketirisan tanpa kebergantungan kepada sumber manusia di lapangan sekali gus meningkatkan keupayaan tindak balas pantas pasukan keselamatan terhadap ancaman keselamatan dan aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan projek Big Eyes dan Solar Hibrid di sini hari ini.
Menurut Victor penyerahan projek berkenaan suatu langkah strategik selaras dengan perancangan Fasa Kedua ESSCOM bagi pengukuhan keselamatan zon berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan projek ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesiapsiagaan aset keselamatan negara, meningkatkan keupayaan taktikal pasukan keselamatan serta memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.
“ESSCOM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta agensi penguatkuasaan lain komited memastikan keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur terjamin,” katanya.
Kerajaan juga akan membina pos kawalan keselamatan sementara di Pulau Ligitan yang akan diterajui oleh ATM bagi menguatkuasakan kedudukan dari segi kedaulatan dan keselamatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial