AM > BERITA

KKDW Perluas Projek TBB, Pastikan Elektrik Stabil Di Sarawak Menjelang 2030

03/12/2025 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang memperluas penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) di pedalaman Sarawak bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya tahan menjelang 2030.

Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu sejajar dengan Sarawak Electricity Master Plan 2025-2030, pelan komprehensif kerajaan negeri untuk memperluas akses tenaga di kawasan sukar dicapai.

Beliau berkata bagi lokasi yang jauh daripada capaian grid, kerajaan melaksanakan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan sistem solar hibrid dan mini hidro, kaedah yang lebih praktikal berbanding sambungan grid yang memerlukan kos tinggi serta berdepan cabaran geografi.

“Pendekatan TBB ini membolehkan kawasan pedalaman menerima bekalan elektrik yang lebih terjamin tanpa kebergantungan kepada sambungan grid,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Abun Sui Anyit pada sesi jawab lisan Dewan Negara hari ini.

Rubiah berkata lebih 650 lokasi sistem tenaga solar telah dilaksanakan di Sarawak sejak 2015, meliputi Kapit, Belaga, Bukit Mabong dan Song.

Beliau menambah beberapa projek baharu akan dimulakan pada 2026, termasuk Projek Sistem Mini Hidro Ulu Lung di Busang, projek perintis pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi solar dan mini hidro bagi meningkatkan keselamatan bekalan elektrik.

Turut dirancang ialah Projek Solar Hibrid di Telang Usan, Marudi dan Katibas, serta kerja menaik taraf stesen solar hibrid di Bario Central dan Long Bedian.

Menjawab soalan mengenai keupayaan tenaga kerja untuk memastikan sistem solar dapat diselenggara segera, Rubiah berkata KKDW telah melaksanakan model operasi bersepadu bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) sejak 2022.

Katanya, SEB menyediakan tenaga kerja khusus seperti jurutera elektrik, juruteknik solar hibrid, pasukan penyelenggaraan lapangan dan pasukan pemantauan jarak jauh, manakala KKDW menanggung sepenuhnya kos operasi dan penyelenggaraan tahunan.

“Melalui model ini, masa respons kerosakan dapat dipendekkan kepada 6 hingga 48 jam, bergantung pada jarak dan keadaan lokasi,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan