KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar barisan kepimpinan baharu Kabinet Kerajaan MADANI bekerja dengan iltizam tinggi dan penuh tanggungjawab, memastikan kesejahteraan rakyat serta kepentingan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata amanah yang diberi perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi menjayakan agenda pembangunan dan reformasi negara.
“Penghargaan dan ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada barisan pimpinan yang telah bersama-sama dalam Kabinet MADANI sebelum ini atas khidmat bakti, sumbangan serta komitmen mereka dalam menjayakan agenda reformasi dan pembangunan negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pelantikan menteri dan timbalan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio bagi menampung kekosongan dalam Jemaah Menteri dan keperluan penyesuaian.
Antara rombakan itu ialah pelantikan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala Hannah Yeoh yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Rombakan turut menyaksikan enam timbalan menteri dan seorang muka baharu dinaikkan sebagai menteri penuh termasuk Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi, manakala Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari menjadi Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial