AM > BERITA

Marhamah Tekad Merakyatkan Pendekatan Dakwah, Perkasa Wanita Islam 

17/12/2025 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli bertekad memanfaatkan pengalamannya dalam kerja kebajikan dan kemasyarakatan bagi memperkasakan institusi agama serta memartabatkan wanita Islam di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.

Menyifatkan pelantikannya susulan rombakan Kabinet sebagai satu amanah besar, beliau berkata akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu memperkukuh dasar serta pelaksanaan agenda hal ehwal agama agar lebih dekat dengan rakyat.

“Fokus saya lebih kepada merakyatkan agama itu sendiri. Maksudnya, tidak mahu rakyat atau masyarakat merasakan agama itu sebagai sesuatu yang terlalu menghukum.

“Saya mahu mereka merasakan agama itu perlu sebati dalam kehidupan, termasuk dalam hal-hal berkaitan ujian dan emosi,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini.

Terdahulu, seramai tujuh menteri termasuk dua lantikan baharu serta lapan timbalan menteri lantikan baharu, termasuk Marhamah, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio berikutan kekosongan dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan keperluan membuat penyesuaian.

Marhamah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab sebagai timbalan menteri yang menjaga kepentingan agama Islam.

Beliau juga memberi jaminan akan melaksanakan amanah tersebut sebaik mungkin serta mengharapkan sokongan semua pihak dalam usaha membangunkan institusi agama Islam di negara ini.

“Saya harap diberi peluang dan ruang agar saya boleh memberikan komitmen sepenuhnya, menggunakan kapasiti yang ada untuk berbakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan