AM > BERITA

Pendekatan Islam Rahmah, Inklusif Teras Pentadbiran Hal Ehwal Agama - Zulkifli

17/12/2025 03:05 PM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Pendekatan Islam yang rahmah, inklusif dan maju akan menjadi asas pentadbiran hal ehwal agama negara selari dengan peranan agama sebagai komponen penting dalam pembangunan masyarakat serta negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata beliau dan timbalannya Senator Marhamah Rosli menerima tausiyah serta pesanan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar melaksanakan amanah sebaik mungkin demi kepentingan negara.

Zulkifli berkata usaha itu bukan sekadar bertujuan meningkatkan syiar Islam, sebaliknya menampilkan wajah Islam yang membawa kerahmatan kepada semua lapisan masyarakat.

“Dalam masa yang sama, kita ingin menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu rahmah, Islam itu membawa kerahmatan kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua, lil ‘alamin,” katanya kepada media di sini hari ini.

Mengulas hala tuju awal pentadbirannya, Zulkifli menegaskan bahawa hal ehwal agama mempunyai peranan yang signifikan dalam konteks kemasyarakatan dan pembangunan negara secara menyeluruh.

Beliau berkata imej Islam yang ingin diketengahkan ialah Islam yang bersifat damai, sederhana serta meraikan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Apa yang ingin kita bawa adalah imej Islam itu yang rahmah, yang inklusif, yang damai, yang maqasid syariah yang wasatiyyah dan yang meraikan kepelbagaian dan dalam masa yang sama, Islam yang maju,” katanya.

Zulkifli berkata pendekatan itu penting bagi memperlihatkan Islam sebagai agama yang indah serta memberikan manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Ini kita nak menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu adalah sesuatu yang indah, yang boleh memberikan rahmat kepada seluruh alam, kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia berada pada landasan kukuh dalam industri halal, dengan rekod pengiktirafan antarabangsa yang membanggakan.

“Sebenarnya, kita sudah mempunyai track yang sangat baik. Malahan, negara kita telah diiktiraf sebagai negara yang terbaik di dunia. Kita telah mengiktiraf lebih 92 badan halal di dunia daripada 47 negara,” katanya.

Pencapaian itu membuktikan Malaysia berada pada tahap terbaik, namun usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan negara kekal mendahului di persada global.

“Kita sudah pun mempunyai rangka pelan yang terbaik untuk memastikan kita terus terkehadapan dan akan terus menjadi juara industri halal pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Menyentuh soal pelantikan dan amanah yang digalas, Zulkifli berkata kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan negara perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga pimpinan yang lain memilih kami berdua untuk memimpin hal ehwal agama. 

“Kita melihat bahawa amanah ini, taklif dan tanggungjawab ini adalah sesuatu yang mesti kita laksanakan sebaiknya dengan penuh keikhlasan, dengan penuh ketulusan,” katanya sambil menambah kepentingan keharmonian serta kesatuan dalam menjayakan agenda hal ehwal agama negara.

“Maksudnya, perlu ada keharmonian, perpaduan dan kesatuan hati serta minda untuk melaksanakan perjuangan ataupun hal ehwal agama di Malaysia,” katanya.

Terdahulu Zulkifli dan Marhamah mengimbas cap jari sebagai simbolik memulakan tugas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 12.20 tengah hari.

Pelantikan Zulkifli bagi menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdan Menteri pada semalam, manakala Marhamah antara lantikan baharu bagi portfolio berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan