AM > BERITA

Festival Muzik Etnik Kelab Rukun Negara Platform Perkukuh Perpaduan Kaum

17/12/2025 08:29 PM

KANGAR, 17 Dis (Bernama) -- Penganjuran Festival Muzik Etnik Kelab Rukun Negara menjadi platform dalam usaha memperkukuh perpaduan kaum dan penghayatan nilai Rukun Negara dalam kalangan generasi muda melalui medium seni dan budaya.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim berkata penganjuran festival itu membuktikan seni dan budaya bukan sekadar hiburan malah berperanan sebagai pendidikan sosial dan budaya yang penting dalam membina masyarakat harmoni.

“Setiap alunan muzik, gerak seni bela diri dan tarian etnik yang dipersembahkan membawa nilai toleransi, kasih sayang serta semangat kebersamaan yang perlu terus dipupuk dalam kalangan murid dan pelajar.

“Festival Muzik Etnik ini diharap menjadi simbol kepada kekuatan Perpaduan dalam Kepelbagaian di samping menyemarakkan rasa cinta akan negara dan nilai-nilai Malaysia MADANI.

“Saya menyeru agar semua guru, pendidik sehingga murid-murid untuk terus menjadi contoh kepada masyarakat yang menjadikan aktiviti kebudayaan seperti festival ini sebagai medan mendekatkan hati, menghapus jurang perbezaan dan mengukuhkan kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan festival itu peringkat negeri Perlis di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini, bagi mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid.

Festival sehari itu menampilkan 36 persembahan melibatkan 30 sekolah, dengan sebahagian sekolah menyertai lebih daripada satu kategori merangkumi bunyi-bunyian alat muzik tradisional, seni bela diri dan tarian etnik.

 

Sementara itu, Zulkifli berkata sebanyak 104 Kelab Rukun Negara ditubuhkan di Perlis yang melibatkan 74 sekolah rendah dan 30 sekolah menengah setakat ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh perpaduan pada peringkat pendidikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan