AM > BERITA

Masalah Bekalan Air Berterusan Di Sebauh Perlu Diselesaikan Segera – Tiong

17/12/2025 09:31 PM

BINTULU, 17 Dis (Bernama) -- Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang telah berlaruran sekian lama, termasuk kekerapan berlakunya kejadian paip pecah serta tekanan air rendah yang menjejaskan penduduk di kawasan Sebauh di sini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata isu berkenaan tidak sewajarnya dianggap remeh, dengan alasan “pemantauan berterusan” atau menafikan berlakunya masalah berkenaan.

“Langkah penambahbaikan yang konkrit perlu dilaksanakan tanpa berlengah bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di Sebauh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiong berkata baru-baru ini, beliau telah membangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian dan menekankan mengenai aduan yang kerap diterima daripada penduduk mengenai kejadian paip pecah, tekanan air rendah serta gangguan bekalan air.

Beliau berkata kualiti air juga membimbangkan, apabila penduduk mengadu air keruh, manakala tekanan air rendah yang boleh mencetuskan keadaan lebih buruk ketika musim perayaan apabila permintaan meningkat.

“Walaupun agensi berkaitan mendakwa tiada masalah dengan bekalan air tempatan, laporan daripada pasukan saya mendapati masih ada penduduk mengadu secara berkala dan ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya.

Tiong berkata meningkatkan tekanan air semata-mata tanpa menaik taraf infrastruktur sokongan hanya akan menyebabkan lebih banyak kejadian paip pecah dan masalan itu memerlukan penyelesaian jangka panjang.

“Saya menggesa agensi berkaitan supaya segera menaik taraf dan menggantikan paip sedia ada dengan paip berkapasiti lebih besar untuk menangani punca utama kepada masalah bekalan air berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan