AM > BERITA

Penggunaan Dana Tabung Zara Qairina Direkod Jelas - Ibu

17/12/2025 08:27 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Penggunaan dana dalam Tabung Justice For Zara mempunyai rekod yang jelas, kata Noraidah Lamat yang juga ibu kepada Zara Qairina Mahathir.

Noraidah, 45, berkata pihaknya telah dinasihatkan untuk hanya melakukan audit dana terbabit selepas prosiding inkues dan kes anaknya selesai.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar tidak memfitnah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, yang merupakan aktivis memulakan gerakan Justice for Zara.

“Kepada yang suka memfitnah beliau (Marhamah), boleh baca hingga hadam. Tabung tersebut hanya dibuka dua hari dan sudah ditutup.

“Segala penggunaan dana ada direkod dengan jelas dan kami dinasihatkan hanya akan melakukan audit apabila selesai prosiding inkues dan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian di Facebooknya yang menyertakan tajuk berita sebuah portal menyebut: “Marhamah jawab kontroversi salah guna dana dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara”.

Hari ini, Marhamah ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur menegaskan tiada dana yang disalah guna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara bagi menampung kos proses inkues.

Beliau berkata akaun tabung berkenaan diasingkan sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang pernah dipengerusikannya selain mempunyai penama tersendiri termasuk Noraidah dan beberapa peguam.

Marhamah antara individu terawal membantu memberi sokongan kepada Noraidah selepas anaknya, Zara Qairina, yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lepas.

Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan Satu sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan