AM > BERITA

MMM Boleh Berperanan Nasihati Kerajaan Perkukuh Kebebasan Media - PM Anwar

18/12/2025 01:15 AM

PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Media Malaysia (MMM) boleh memainkan peranan sebagai penasihat kerajaan dalam usaha memperkukuh kebebasan media, termasuk mengenal pasti undang-undang atau peruntukan yang mungkin menyekat kebebasan media.

Beliau berkata MMC perlu menetapkan garis panduan yang jelas mengenai kebebasan media serta mencadangkan batasan yang wajar khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Kebebasan media di negara ini perlu dipertingkatkan. Apakah hadnya? Masih wujud isu berkaitan kaum dan agama.

“Ini bermakna Majlis Media mempunyai tanggungjawab untuk nasihat berkaitan udang-undang tertentu atau peruntukan yang menyekat kebebasan. Anda boleh memberi nasihat, dan kami pasti akan menyampaikannya kepada Kabinet serta Datuk Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) untuk meneliti cadangan ini dengan serius,” kata beliau.

Anwar berkata demikian pada sesi Taklimat Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj. Taklimat itu turut diertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.

Menurut Anwar, kod etika tidak seharusnya dianggap terlalu membataskan prinsip kebebasan media secara menyeluruh.

"Keseluruhan konsep kebebasan media, seperti yang saya faham sejak awal adalah untuk memastikan wujud rasa tanggungjawab, media dapat mengurus sendiri dan memahami had yang wajar.

“Tetapi saya bersetuju, ia tidak seharusnya dianggap menjejaskan visi keseluruhan mengenai kebebasan - kedudukan atau dasar kebebasan media yang kita perjuangkan,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar berkata media perlu mengamalkan tanggungjawab yang tinggi kerana persaingan sengit dalam kalangan organisasi media kadangkala boleh menyebabkan sentimen perkauman atau agama dieksploitasi.

Perdana Menteri berkata media juga perlu bertanggungjawab kerana persaingan sengit mendorong sesetengah pihak menonjolkan sentimen kaum, sehingga masyarakat terlupa bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 pada 26 Feb lepas, sebelum diluluskan di Dewan Negara pada 19 Mac yang kemudiannya diwartakan pada 13 Jun sebagai Akta Majlis Media Malaysia 2025.

Ia merupakan simbol pencapaian penting industri media Malaysia selepas cadangan penubuhannya dibincangkan sejak 1973, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih, berintegriti dan adil.

Pada 7 Nov, sebanyak 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM pada mesyuarat agung pertama majlis berkenaan mewakili tiga kategori iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media sertsa orang awam dan badan  bukan kerajaan (NGO).

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan