AM > BERITA

Pelesenan ASP(C) Bagi Platform Media Sosial Utama Perkukuh Tanggungjawab, Keselamatan Pengguna - Pakar

18/12/2025 11:30 AM

Oleh Nur Adlina Huda Zulkhairi

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pakar media dan komunikasi memuji keputusan Malaysia untuk  mengklasifikasikan platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet dengan lapan juta pengguna atau lebih, sebagai pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kelas (ASP(C)) mulai 1 Jan 2026.

Mereka menyifatkan langkah itu penting ke arah memperkukuhkan akauntabiliti platform berkenaan dan meningkatkan perlindungan pengguna, terutamanya kepada kanak‑kanak dan keluarga.

Penganalisis politik dan sosial media di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Prof Dr Sara Chinnasamy berkata klasifikasi itu meletakkan tanggungjawab undang-undang yang jelas ke atas platform digital utama untuk mematuhi kerangka peraturan Malaysia, sekali gus mengukuhkan mekanisme perlindungan pengguna. 

Beliau berkata walaupun terdapat peruntukan besar setiap tahun oleh kerajaan, penyedia platform dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk inisiatif keselamatan dalam talian, kebanyakan program itu kekurangan penilaian sistematik, menyebabkan bukti mengenai keberkesanannya dalam mempengaruhi perubahan tingkah laku terhad. 

“Ibu bapa perlu dididik mengenai potensi risiko, galakkan terhadap tingkah laku bertanggungjawab dalam talian, dan diperkasa untuk membuat pilihan mengenai tetapan privasi. Penyedia platform juga mempunyai peranan penting dengan melaksanakan ciri-ciri keselamatan, memantau kandungan berbahaya dan menawarkan mekanisme laporan yang jelas,” katanya kepada Bernama.

Sara menambah kempen keselamatan perlu disokong oleh kerangka penilaian yang tersusun untuk mengukur impak sebenar. 

“Jangka masa penilaian bergantung kepada teori perubahan dan indikator yang digunakan. Sesetengah indikator memerlukan tempoh lebih lama untuk membuat penilaian dan tempoh antara intervensi dan penilaian mesti dirancang dengan telititi untuk melihat perubahan tingkah laku yang berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Azul Mohamad Salleh berkata langkah pengawalseliaan itu selaras dengan amalan antarabangsa, dengan merujuk Australia sebagai penanda aras bagi perlindungan kanak-kanak dalam talian.

“Australia telah memperkasakan perlindungan kanak-kanak dan menjadi negara pertama menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial secara menyeluruh kepada kanak-kanak di bawah umur 16 tahun (mulai Disember 2025) dengan mewajibkan platform untuk menyekat akses,” katanya. 

Dr Mohd Azul berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan platform global akan mengurangkan operasi mereka, pengawalseliaan secara proaktif tetap diperlukan bagi mengurangkan risiko yang lebih meluas kepada masyarakat.

“Sekiranya platform ini memilih untuk tidak mematuhi dan disekat daripada beroperasi, negara akan berhadapan dengan impak yang akan menjejaskan pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, dan peniaga kecil yang bergantung pada platform media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah proaktif ini perlu untuk memastikan pengendali platform bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna dan melindungi privasi data bagi mengelakkan jenayah siber seperti penipuan dalam talian. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini mengumumkan bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan sosial media yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia, dikehendaki berdaftar sebagai pemegang lesen ASP (C) berkuat kuasa 1 Jan, 2026. 

Langkah itu dilaksanakan menerusi Peruntukan Deeming Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan selaras dengan rangka kerja pelesenan yang dikuatkuasakan bermula 1 Jan lepas untuk memperkukuh pematuhan dan kebertanggungjawab. 

Peruntukan Deeming ini terpakai ke atas penyedia perkhidmatan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, Tiktok dan YouTube, bertujuan untuk memastikan platfrom berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara konsisten dan berkesan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan