KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau pematuhan pemberi perkhidmatan termasuk Astro bagi memastikan keperluan ketelusan maklumat dan kejelasan kontrak dipatuhi, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pemantauan itu dilaksanakan selaras dengan Kod Amalan Am Pengguna 2022 (GCC), yang mewajibkan penyedia perkhidmatan memaklumkan pengguna tentang semua terma dan syarat kontrak sebelum sesuatu perjanjian dimeterai.
“Hal ini termasuk tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pengguna serta implikasi sekiranya berlaku pelanggaran kontrak,” katanya ketika menjawab soalan Senator Azahar Hassan berhubung langkah dalam memastikan ketelusan Astro sebelum kontrak ditandatangani oleh peniaga kecil.
Fahmi berkata kegagalan pemberi perkhidmatan mematuhi GCC boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menegaskan bahawa pengguna juga bertanggungjawab membuat pertimbangan secara teliti sebelum melanggan sesuatu perkhidmatan, termasuk memahami tempoh komitmen, had penggunaan, caj tambahan, liputan perkhidmatan serta implikasi penamatan kontrak awal.
Mengenai langkah sama ada kementerian bersedia mengarahkan Astro mengeluarkan notis amaran sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga kecil yang tidak menyedari status penggunaan siaran komersial mereka, Fahmi menjelaskan sebarang tindakan undang-undang merupakan keputusan komersial berdasarkan terma kontrak.
“Astro menawarkan dua jenis pakej langganan utama, iaitu pakej komersial untuk premis perniagaan dengan hak tontonan awam, manakala pakej kediaman hanya bagi tontonan peribadi di rumah.
“Larangan penggunaan pakej kediaman di premis komersial diperincikan dalam klausa 3.7 terma dan syarat Astro Residential,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Azahar mengenai pemantauan MCMC terhadap sumbangan Astro kepada pembangunan kandungan tempatan dan peluang pekerjaan dalam industri kreatif serta pematuhan kuota kandungan tempatan, Fahmi berkata bagi lesen penyiaran baru dikeluarkan oleh MCMC, kerajaan tidak lagi menetapkan kuota kandungan tempatan.
“Perkara (dasar) ini timbul sewaktu perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan ingin saya jelaskan tiada lagi kuota itu bagi lesen yang baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial