KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di beberapa negeri semakin serius apabila jumlah mangsa terus meningkat pagi ini, dengan Pahang mencatat jumlah tertinggi yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat dengan mendadak kepada 8,226 orang daripada 2,653 keluarga dan ditempatkan di 69 PPS berbanding 3,796 orang daripada 1,206 keluarga di 48 PPS petang semalam.
Menurut aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan mangsa paling tinggi direkodkan ialah di Kuatan, iaitu 6,609 orang di 41 PPS, diikuti Maran sebanyak 770 orang di 15 PPS, Pekan (514 mangsa, tujuh PPS) dan Rompin (333 mangsa, enam PPS).
Laman web public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan 10 stesen pemantau paras air sungai pagi ini merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya antaranya di stesen Kampung Merting, Sungai Tembeling, Jerantut, stesen Sri Damai, Sungai Belat di Kuantan, stesen Jalan Pekan–Kuantan, Sungai Soi dan stesen Empangan Chereh serta Kampung Sungai Puteri, Rompin.
Jumlah mangsa banjir di JOHOR turut bertambah kepada 347 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 240 orang yang direkodkan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam kenyataan hari ini berkata sebuah lagi PPS dibuka di Mersing, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Labong, menjadikan jumlah PPS yang beroperasi di daerah itu kepada tiga.
Katanya, PPS berkenaan menempatkan 69 mangsa daripada 13 keluarga, manakala dua lagi PPS melibatkan SK Pusat Air Tawar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chiao Ching, masing-masing menjadi tempat perlindungan bagi 148 orang daripada 36 keluarga dan 130 orang daripada 41 keluarga.
Beliau berkata lima kawasan yang terjejas di daerah itu ialah Kampung Baru Air Tawar, Kampung Hubong, Kampung Belukar Juling, Kampung Semaloi dan Kampung Orang Asli Labong, manakala di daerah Batu Pahat, Sungai Lenik di Ladang Chaah telah melebihi paras bahaya dengan bacaan 7.24 meter (m).
"Sementara itu, Jalan Johor Bahru–Endau (ladang tenusu) hanya dibuka kepada satu lorong, manakala Jalan Mawai Lama untuk kegunaan kenderaan berat sahaja, sementara Jalan Kota Tinggi–Kluang (Kim Long) pula hanya dibuka kepada kenderaan ringan, susulan dinaiki air banjir," katanya.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 913 orang daripada 258 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 94 orang daripada 25 keluarga petang semalam.
Menurut Sekretariat JPBN Terengganu, Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan 205 mangsa daripada 59 keluarga dipindahkan ke dua PPS, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor.
Di Kemaman, sebanyak 708 mangsa daripada 199 keluarga berlindung di sembilan PPS termasuk Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Dewan Orang Ramai Batu 14, Masjid Kampung Batu 16 Tebak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jabor.
PPS lain yang terlibat ialah Dewan Ketengah Dadong dan Dewan Semai Bakti Felda Neram 2, Surau Blok 28 Kampung Baru Felda Neram 1, Dewan Sivik Air Putih dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor.
Menurut laman web public infobanjir JPS, paras air sungai di enam stesen telah melepasi tahap bahaya melibatkan Stesen Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu; Sungai Kemaman di Rumah Paya Pam Paman, Kemaman; Sungai Berang di Kampung Menerong (F1), Hulu Terengganu; Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih (F2), Kemaman dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu.
Di KELANTAN, Infobencana JKM melaporkan sebuah PPS dibuka di Gua Musang pagi ini, iaitu di SK Lebir bagi menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Lebir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial