AM > BERITA

Dewan Negara Ditangguh, 13 Rang Undang-undang Diluluskan

18/12/2025 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara yang berlangsung selama 12 hari bermula dari 1 Dis lepas melabuhkan tirai hari ini, setelah menyaksikan 13 rang undang-undang (RUU) diluluskan.

Antaranya, RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025, RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025, RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Selain itu, RUU Perbekalan 2026, RUU Kewangan 2025, RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025 di bawah Kementerian Kewangan, manakala di bawah Jabatan Perdana Menteri melibatkan RUU Antibuli 2025 dan RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2025, diluluskan.

Turut diluluskan, RUU Imigresen (Pindaan) 2025 dan RUU Pasport (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), RUU Rukun Tetangga (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Perpaduan Negara, dan RUU Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Komunikasi.

Sepanjang persidangan, antara yang menjadi tumpuan ialah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, bagi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada 2 Dis lepas.

Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam yang terjejas di kebanyakan negeri akibat banjir baru-baru ini, selain menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada 16 Dis, Anwar juga memaklumkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dengan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan. 

Selain itu, persidangan kali ini turut menyaksikan enam Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah pada 3 Dis.

Mereka termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada 10 Dis, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh dan bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.

Mohd Na'im dan Saraswathy kemudiannya digugurkan dalam Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri pada Selasa lepas.

Penceramah agama Marhamah Rosli, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baharu, mengangkat sumpah sebagai senator pada hari yang sama.

Sementara itu, Awang Bemee dalam ucapan penangguhan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Dewan Negara kerana mengambil bahagian dalam perbahasan kesemua RUU yang dibawa dari Dewan Rakyat.

"Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kerana mencerminkan kecekapan, kesungguhan serta tahap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan Ahli Dewan Negara melaksanakan tanggungjawab legislatif," katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada semua senator dan mereka yang meraikannya serta menasihatkan agar berhati-hati di jalan raya semasa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan