KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempermudahkan urusan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Aceh, Indonesia yang dilanda banjir, khususnya melalui saluran diplomasi Malaysia-Indonedia.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata sokongan kerajaan amat diperlukan bagi mengelakkan kekangan birokrasi serta salah faham dalam urusan merentasi sempadan yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa.
“Bila melibatkan hubungan antarabangsa, semuanya menjadi sensitif dan kita tidak mahu timbul sebarang kekeliruan...sebab itu kita berharap pejabat Perdana Menteri sendiri dapat membantu memudahkan segala urusan yang perlu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa wakil NGO telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan termasuk usaha untuk menyelaras penyaluran bantuan secara lebih teratur.
“Kita tidak ada keupayaan untuk bergerak bersendirian. Kerjasama semua pihak amat penting supaya semua bantuan dapat disalurkan dengan baik. Dimaklumkan juga terdapat kira-kira 500 tan bantuan yang masih tersekat,” katanya.
Nadzim berkata PPIM bimbang sekiranya bantuan dihantar tanpa prosedur yang jelas, ia berisiko tidak sampai kepada sasaran atau gagal diagihkan dengan sempurna serta boleh menimbulkan laporan tidak tepat serta memberi kesan negatif kepada usaha bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan.
Aceh dilaporkan dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas, kemusnahan kediaman serta gangguan bekalan asas, sekali gus mencetuskan keperluan mendesak terhadap bantuan makanan dan keperluan harian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial