AM > BERITA

Solar "The Future Powered Project" Ubah Wajah Pembelajaran Di SKA Tunjuk Laut

18/12/2025 06:30 PM

KOTA TINGGI, 18 Dis (Bernama) -- Perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Agama (SKA) Tunjuk Laut, di sini sememangnya menguji masa dan kesabaran.

Dari Johor Bahru ke Felda Tenggaroh 2 mengambil masa hampir dua jam, sebelum kami menaiki pacuan empat roda (4x4) meredah laluan berlubang dan berlumpur selama 40 minit, kerana jalan utama yang sepatutnya dilalui dinaiki air.

Di sebalik kesukaran itu, sinar harapan terpancar di SKA Tunjuk Laut melalui projek solar The Future Powered Project, hasil kerjasama Yayasan JCorp dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dirasmikan Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswan Yunus dan diiringi Pengurus Besar Yayasan JCorp Wan Su Ali.

Sejajar dengan komitmen JCorp dalam bidang alam sekitar, projek tenaga solar ini menandakan sejarah dalam usaha memperkukuh pendidikan luar bandar dan kelestarian tenaga di negeri itu.

SKA Tunjuk Laut merupakan antara sekolah luar bandar yang beroperasi sepenuhnya tanpa sambungan grid elektrik dan sebelum ini hanya bergantung kepada generator diesel yang sering menghadapi gangguan bekalan.

Kini, sistem solar fotovolta lengkap dengan teknologi Internet benda (IoT) membekalkan tenaga bersih dan membolehkan pemantauan prestasi serta kesihatan sistem secara masa nyata, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keberkesanan pembelajaran di sekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata projek itu, memberikan kestabilan kepada sekolah yang telah lama beroperasi dalam keadaan mencabar.

“Inisiatif solar ini melengkapi program-program lain dan sebahagian daripada misi kami untuk melindungi ekosistem sambil memajukan komuniti. Apabila rakan strategik berganding bahu, kita mampu mencipta impak yang mengubah kehidupan.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong, khususnya Yayasan Sultan Ibrahim Johor, yang menyumbang bukan sahaja keperluan tetapi juga kegembiraan kepada pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM Prof Madya Ir Dr Shamsul Sarip berkata pemasangan sistem solar berkapasiti 5.5 kilowatt peak melibatkan sembilan panel, mampu mengelakkan hampir enam tan pelepasan karbon setiap tahun dan menjimatkan bil elektrik antara 30 hingga 60 peratus.

Beliau berkata UTM selaku peneraju reka bentuk, pemasangan dan latihan, bersama Yayasan JCorp dan ICP Piles, turut menyediakan latihan kepada guru-guru serta komuniti setempat berkaitan asas penyelenggaraan sistem solar, bagi memastikan kelestarian projek.

“Melalui kerjasama UTM dan Yayasan JCorp, sistem ini memberi manfaat besar kepada komuniti sekolah. Kami turut menjalankan sesi penerangan dan latihan tentang kepentingan tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan elektrik untuk memastikan sistem digunakan secara berkesan dan mampan.

“Kerjasama strategik ini selari dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya SDG 7 iaitu tenaga bersih dan mampu milik,” katanya.

Selain itu, UTM merancang kesinambungan projek melalui aktiviti STEM, pendidikan tenaga hijau, pemuliharaan biodiversiti serta penyelenggaraan sistem secara berkala.

Guru Besar SKA Tunjuk Laut Zairullizam Ikhwan, 49, menyifatkan sumbangan solar itu umpama hadiah kepada warga sekolah, terutamanya pelajar yang selama ini berhadapan dengan kekurangan tenaga elektrik.

“Sebelum ini, sekolah bergantung sepenuhnya kepada generator. Kuasa elektrik terhad, kipas menjadi perlahan dan murid-murid kepanasan. Dengan solar ini, empat kelas di bahagian bawah kini mendapat tenaga bersih, menjadikan suasana lebih selesa dan pembelajaran lebih lancar,” katanya.

Beliau menambah setakat ini empat kelas mendapat bekalan solar, manakala bahagian atas bangunan menggunakan generator, namun pihak sekolah tetap bersyukur dan berharap kemudahan ini dapat diperluas ke seluruh sekolah demi keselesaan murid-murid.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan