SHAH ALAM, 18 Dis (Bernama) -- Perjalanan hidup serta pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia perniagaan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) Tan Sri Dr Lim Wee Chai, kini dirakamkan dalam sebuah buku biografi bertajuk Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar, yang dilancarkan di sini hari ini.
Buku setebal 145 muka surat itu mengisahkan perjalanan hidup Lim bermula dari Kampung Baru Cina di Titi, Negeri Sembilan sehingga berjaya membina Top Glove sebagai syarikat pengeluar sarung tangan terbesar di negara ini.
Lim berkata penerbitan buku tersebut bukan sekadar bertujuan berkongsi pengalaman peribadi, sebaliknya diharap menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
“Apa sahaja ilmu yang kita ada perlu dikongsi bersama masyarakat, kerana perkongsian ilmu bukan sahaja memberi manfaat kepada orang lain, malah kepada diri kita sendiri.
“Ilmu yang baik dan bermanfaat tidak sepatutnya disimpan untuk diri sendiri, sebaliknya perlu disebarkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku itu di sini hari ini.
Lim turut menekankan bahawa ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan merupakan asas penting bagi memastikan seseorang individu, organisasi mahupun sesebuah negara mampu menjadi penyumbang positif kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Beliau berkata keputusan yang dibuat tanpa ilmu, bukan sahaja membawa kesan buruk dalam jangka panjang, malah berpotensi menjadikan individu berkenaan beban kepada sistem sedia ada.
“Ilmu pengetahuan sangat penting dalam setiap keputusan yang kita buat. Apabila keputusan dibuat dengan bijaksana, hasilnya juga akan menjadi baik.
“Namun jika keputusan dibuat tanpa kebijaksanaan, kesan buruknya akan menjadi sangat besar,” katanya.
Pelancaran buku Mesti Tahu, Mesti Buat, Mesti Ajar itu dilihat sebagai usaha memupuk budaya berfikir secara rasional, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam membuat keputusan yang memberi kesan jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial