AM > BERITA

Perhilitan Tangkap Gajah Liar Di Kemaman

18/12/2025 09:24 PM

CHUKAI, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar di Ladang Rakyat Bukit Bandi, Cerul dekat sini hari ini.

 Pengarahnya Loo Kean Seong berkata mamalia itu ditangkap pada 2 petang di ladang kelapa sawit itu selepas ditembak dengan ubat pelali pada 12.30 tengah hari.

 Beliau berkata gajah jantan dianggarkan berusia tujuh tahun dengan berat 2.5 tan itu berada dalam keadaan sihat ketika ditangkap kira-kira dua kilometer dari lokasi ia ditembak.

"Sekumpulan anggota Perhilitan bergegas ke lokasi selepas mengesan video tular berdurasi lebih tiga minit memaparkan seekor gajah liar berkeliaran di Jalan Cerul-Bukit Sagu yang dimuat naik menerusi aplikasi Facebook pada 10 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 Loo berkata gajah itu akan dipindahkan ke habitat asal dalam masa terdekat.

Berdasarkan maklumat penduduk, gajah liar itu, katanya dikesan berkeliaran di sekitar Cerul sejak beberapa tahun lepas namun tidak mengganggu orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

 Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata gajah itu dikatakan berkeliaran di jalan raya selepas beberapa kawasan di ladang kelapa sawit berkenaan ditenggelami banjir sejak semalam.

 "Pengguna jalan raya tidak perlu bimbang menggunakan laluan berkenaan kerana gajah liar itu telah berjaya ditangkap serta tidak terdapat gajah lain dikesan berada di kawasan ladang kelapa sawit tersebut," katanya.

 -- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan